Adakah Umat Islam Dilarang Menyambut Valentine’s Day?

Benar
Adakah Umat Islam Dilarang Menyambut Valentine’s Day?

14 Februari merupakan tarikh di mana jatuhnya sambutan Valentine’s Day

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 14/02/2025 - Disunting : 14/02/2025

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Umat Islam Dilarang Menyambut Valentine’s Day?

14 Februari adalah tarikh yang terkenal di seluruh dunia kerana merupakan sambutan Hari Kekasih atau lebih dikenali sebagai Valentine’s Day diadakan. Namun begitu, apakah hukum umat Islam menyambut Valentine’s Day?

Sebelum memasuki bab hukum sambutan Valentine’s Day oleh umat Islam, mari kita mengetahui asal-usul sambutan ini terlebih dahulu. Terdapat beberapa versi asal-usul Valentine’s Day yang merangkumi pengaruh tradisi Kristian dan Rom purba. 

 

Nama sambutan Valentine’s Day diambil sempena nama paderi

Berdasarkan laman web History, nama sambutan ini merujuk kepada paderi yang digelar sebagai St. Valentine. Gereja Katolik telah mengenal pasti tiga paderi dengan nama Valentine atau Valentinus yang mati syahid. 

Dalam satu legenda, Valentine merupakan seorang paderi ketika kurun ke-3 di Rom. Ketika itu, Emperor Claudius II telah melarang perkahwinan bagi pemuda kerana merasakan mereka yang belum berkahwin akan menjadi askar yang lebih bagus berbanding pemuda dengan isteri dan keluarga. Namun Valentine yang merasakan perkara itu tidak adil tetap mengahwinkan pasangan secara rahsia. Dia bagaimanapun telah diarahkan oleh Claudius untuk dihukum bunuh.

Dalam masa sama, ada yang mempercayai nama Valentine’s Day diambil daripada biskop Saint Valentine di Terni, Itali. Dia juga telah dipancung oleh Claudius II di luar Rom. Beberapa kisah lain pula mencadangkan bahawa Valentine mungkin telah dibunuh kerana melakukan cubaan untuk membantu penganut agama Kristian melarikan diri daripada kekejaman penjara Rom, di mana mereka sering dipukul dan didera. 

Satu legenda lagi menceritakan bagaimana seorang bernama Valentine yang dipenjara telah menghantar ucapan ‘Valentine’ pertama setelah dia jatuh cinta dengan seorang wanita yang sering melawatnya ketika dalam tahanan. Wanita itu mungkin adalah anak kepada individu yang memenjarakannya.

 

Valentine’s Day diadakan untuk ‘mengganti’ sambutan pagan Lupercalia

Di samping itu, timbul juga kepercayaan bahawa Valentine’s Day diadakan pada pertengahan Februari sebagai salah satu usaha untuk ‘mengKristiankan’ sambutan pagan Lupercalia yang disambut pada 15 Februari. Ia merupakan satu festival kesuburan yang dedikasikan kepada tuhan Rom Faunus, serta pengasasnya Romulus dan Remus.

Dalam sambutan tersebut, sekumpulan paderi Rom yang merupakan ahli Luperci akan memulakannya dengan berkumpul di dalam sebuah gua yang dipercayai menjadi tempat Romulus dan Remus dijaga oleh seekor serigala betina (lupa).

Para paderi akan mengorbankan seekor kambing bagi kesuburan dan seekor anjing bagi penyucian. Kulit kambing tersebut akan dipotong menjadi jalur sebelum dicelup dengan darah korban dan digunakan untuk memukul para wanita dan ladang tanaman secara lembut. Walaupun kedengaran gerun, namun wanita Rom ketika itu menerima baik pukulan tersebut kerana mempercayai ia akan menjadikan mereka lebih subur. 

Kemudian, dipercayai bahawa kesemua wanita akan meletakkan nama mereka di dalam sebuah kendi. Para pemuda akan memetik nama wanita dari dalam kendi itu yang akan menjadi pasangan mereka. Kebiasaannya pasangan terbabit pasti akan berkahwin.

 

Islam melarang sambutan Valentine’s Day

Setelah mengetahui asal-usul sambutan Hari Kekasih, ternyata bahawa ia mempunyai kaitan dengan agama Kristian serta sambutan Lupercalia oleh masyarakat pagan di Rom. Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 memutuskan bahawa umat Islam dilarang daripada menyambut Valentine’s Day.

Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam,” jelasnya.

Sebaliknya, Muzakarah berpandangan bahawa tidak ada hari tertentu menurut Islam bagi meraikan kasih sayang yang dianjurkan dalam agama.

 

Jalan terbaik untuk meraikan kasih sayang adalah dengan berkahwin

Merujuk kepada laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Hari Kekasih dianggap sebagai budaya masyarakat bukan Islam yang buruk dan tidak seharusnya menjadi ikutan. Sabda Rasulullah SAW:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Barangsiapa menyerupai suatu kaum maka ia termasuk sebahagian daripada mereka.”

Riwayat Abu Daud (4031)

Namun begitu, ditegaskan juga bahawa Islam tidak melarang untuk umatnya menzahirkan kasih sayang dan jalan yang terbaik untuk memanifestasikan perasaan itu adalah menerusi perkahwinan semata-mata. Ini adalah berdasarkan kepada sabda Nabi Muhammad SAW:

لَمْ  يُرَ لِلْمُتَحَابَّيْنِ مِثْلُ النِّكَاحِ

Maksudnya: “Tidak pernah dilihat solusi untuk dua orang yang saling mencintai selain berkahwin.”

Riwayat Ibn Majah (1847)

Dalam pada itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan cenderung menyatakan Hari Kekasih diharamkan dalam Islam. Malah, telah jelas ditunjukkan bahawa sambutan itu membawa kepada budaya maksiat dan penzinaan. Turut ditekankan bahawa hubungan luar nikah yang menjadi salah satu aktiviti ketika menyambut Hari Kekasih juga ditegah bukan sahaja oleh Islam, tetapi agama lain termasuk Kristian dan Buddha. 

Tambahnya lagi, Islam tidak meletakkan hari tertentu bagi meraikan kasih sayang. Oleh itu, tiada keperluan untuk mengkhususkan hari tertentu lebih-lebih lagi apabila ia seperti menggalakkan ke arah gejala sosial dalam kalangan masyarakat.

 

Maksiat yang berlaku ketika sambutan Valentine’s Day merupakan jenayah syariah

Di samping itu, maksiat yang seringkali dilakukan ketika menyambut Valentine’s Day juga jatuh sebagai jenayah syariah di dalam negara. Menurut Pengamal Undang-Undang Syariah, Muhammad Firdaus Alhadi Abdullah, antara jenayah syariah yang sering dilakukan pada hari tersebut adalah khalwat, perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah dan melakukan perbuatan tidak sopan di tempat awam.

“Khalwat menurut undang-undang syariah secara umumnya bermaksud orang lelaki (atau perempuan) yang didapati bersama dengannya seorang atau lebih perempuan atau lelaki yang bukan isterinya atau suaminya atau mahramnya, di mana-mana tempat terselindung, di dalam rumah atau di dalam bilik dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral,” katanya.

Berdasarkan kepada Seksyen 27 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, individu yang didapati bersalah melakukan khalwat boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Seksyen 24 akta sama juga menyatakan kesalahan perbuatan persediaan untuk melakukan persetubuhan yang turut membawa hukuman serupa. Manakala kesalahan melakukan persetubuhan luar nikah pula termaktub di bawah Seksyen 23 akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau hukuman sebatan tidak melebihi enam sebatan atau mana-mana kombinasi hukuman berkenaan.

Muhammad Firdaus juga berkata pasangan sering melakukan perbuatan tidak sopan di tempat awam yang jika disabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali seperti di bawah Seksyen 29 akta sama.

 

Boleh ke suami isteri Islam sambut Valentine’s Day?

Namun begitu, bagaimana pula dengan sambutan Valentine’s Day oleh pasangan beragama Islam yang telah sah menjadi suami isteri? 

Seperti yang dinyatakan oleh Muzakarah dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di atas, tiada hari tertentu yang dikhaskan bagi menyambut kasih sayang antara suami isteri. Muhammad Firdaus berkata Islam menuntut agar suami isteri berkasih sayang setiap masa dan bukannya pada hari tertentu seperti Valentine’s Day.

“Malah, ia tidak ada pun dalam Islam. Lebih membimbangkan lagi apabila umat Islam terutama golongan remaja dan muda-mudi turut menyambutnya, sekali gus terjebak dengan maksiat atau jenayah syariah seperti khalwat dan zina,” ujarnya.

Bekas Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid sebelum ini menegaskan bahawa tindakan memberi hadiah kepada seseorang pada tarikh 14 Februari adalah tidak dibenarkan memandangkan seolah-olah meraikan konsep Valentine’s Day.

Sebaliknya, pasangan suami isteri digalakkan untuk memberi hadiah pada bila-bila masa sahaja dan tidak diniatkan dengan tarikh atau sempena sambutan yang dilarang agama Islam.

 

Haram Umat Islam Menyambut Valentine’s Day

Memandangkan asal-usul Hari Kekasih mempunyai kaitan dengan sambutan oleh penganut Kristian, oleh itu umat Islam dilarang daripada menyambutnya. Sebaliknya, Islam tidak meletakkan satu hari tertentu bagi meraikan perasaan cinta dan kasih sayang, lebih-lebih lagi antara suami isteri yang sepatutnya dilakukan sepanjang masa.

Dalam masa sama, Islam tidaklah melarang perasaan kasih sayang, namun seperti sabda Rasulullah SAW, jalan terbaik untuk pasangan yang saling mencintai adalah untuk berkahwin.

Baca Artikel Berkaitan: Adakah Seorang Islam Boleh Berkahwin Dengan Bukan Muslim?

Baca Artikel Berkaitan: Adakah Umat Islam Boleh Ke Majlis Perkahwinan Atau Pengebumian Bukan Muslim?


Rujukan:

1. https://www.history.com/topics/valentines-day/history-of-valentines-day-2
2. https://www.facebook.com/MyJAKIMmalaysia/posts/hukum-orang-islam-menyambut-perayaan-valentines-day-____________________________/696060167111222/
3. https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/1032-bayan-linnas-siri-ke-84-ke-mana-arah-tuju-hari-kekasih
4. https://www.sinarharian.com.my/article/648718/sinar-islam/hukum/valentines-day-haram-tiada-dalam-islam
5. https://www.sinarharian.com.my/article/70019/sinar-islam/haram-sambut-hari-kekasih-elak-beri-hadiah

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 4 weeks ago