Adakah Umat Islam Yang Bunuh Diri Akan Pasti Masuk Neraka?

Salah
Adakah Umat Islam Yang Bunuh Diri Akan Pasti Masuk Neraka?

Kebanyakan individu percaya bahawa seorang Muslim yang membunuh diri pasti akan ditempatkan ke dalam neraka

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 26/07/2023 - Disunting : 26/07/2023

Keputusan:Salah

Petition to

Adakah Umat Islam Yang Bunuh Diri Akan Pasti Masuk Neraka?

Jika anda sedang mengalami sebarang masalah atau tekanan yang melampau, sila hubungi pihak BEFRIENDERS di talian +603-7956 8145 (24 jam).


Kes bunuh diri dalam negara telah meningkat terutamanya ketika Perintah Kawalan Perjalanan (PKP) dijalankan bagi mengekang penyebaran pandemik COVID19. Menurut data oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 1,142 kes bunuh diri dilaporkan pada tahun 2021 berbanding 631 kes pada 2020. Ini bermakna terdapat peningkatan sebanyak 81% hanya dalam tempoh satu tahun.

Di samping itu, pada enam bulan pertama tahun 2022, terdapat sebanyak 467 jumlah kes bunuh diri yang direkodkan. Kemurungan akibat tekanan ekonomi dan sosial merupakan salah satu penyumbang kepada kejadian bunuh diri.

Terdapat pertanyaan yang sering dikemukakan berkenaan hukum bunuh diri bagi umat Islam dan sama ada pelaku akan ditempatkan ke dalam neraka. Ada individu yang mendakwa mereka pasti akan dihukum di dalam neraka. Namun begitu, bagaimana dengan mereka yang mempunyai masalah mental sehingga menyebabkan mereka tidak sedar diri dengan tindakan mereka? 

 

Hukum bunuh diri

Secara umumnya, umat Islam sedia maklum bahawa hukum bunuh diri adalah berdosa besar dan diharamkan.

Menurut Riwayat al-Bukhari (6047), Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَتَلَ نَفْسَهُ بِشَىْءٍ عُذِّبَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Sesiapa yang membunuh diri dengan sesuatu cara, pada hari kiamat kelak dia akan diseksa dengan cara seperti itu pula.”

Malah, terdapat juga hadis yang berkata seseorang yang membunuh diri akan diharamkan syurga ke atasnya. Daripada Jundub RA, Nabi SAW bersabda:

كَانَ فِيمَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ رَجُلٌ بِهِ جُرْحٌ، فَجَزِعَ فَأَخَذَ سِكِّينًا فَحَزَّ بِهَا يَدَهُ، فَمَا رَقَأَ الدَّمُ حَتَّى مَاتَ، قَالَ اللَّهُ تَعَالَى بَادَرَنِي عَبْدِي بِنَفْسِهِ، حَرَّمْتُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ ‏

Maksudnya: “Pada umat sebelum kalian, terdapat seseorang yang tercedera, dia tidak dapat menahan kesakitan lalu dia mengambil pisaunya lalu memotong tangannya. Darah berterusan mengalir sehinggalah dia mati. Allah berkata: Hamba ku telah menyegerakan untuk mati, aku telah mengharamkan ke atasnya syurga.”

Riwayat al-Bukhari (3463)

Namun begitu, Qadhi Iyadh, seorang imam ahli hadis dan hakim, menyebut bahawa seorang Islam yang membunuh diri akan dimasukkan dan diseksa di dalam neraka buat masa yang panjang, tetapi tidak akan kekal di dalamnya selama-selamanya.

Turut disebutkan di dalam hadis Riwayat Muslim bahawa seseorang yang membunuh diri akan masuk ke dalam neraka jahanam dan kekal selama-lamanya di dalamnya. Memandangkan hanya orang kafir yang akan kekal di dalam neraka, terdapat anggapan bahawa seorang Muslim yang membunuh diri akan jatuh kafir.

Walau bagaimanapun, sesetengah ulama berpendapat bahawa ayat tersebut tidak bermaksud mereka menjadi kafir. ‘Kekal selama-lamanya’ yang disebut di dalam hadis berkenaan bererti pelaku akan duduk di dalam neraka untuk satu tempoh yang lama dan tidaklah bermaksud dia akan berkekalan di dalam neraka. 

Di samping itu, Ustaz Azhar Idrus berkata bahawa perbuatan bunuh diri sememangnya haram pada syarak dan terdapat keadaan yang akan menjadikan seseorang itu kafir jika melakukannya. Jika seorang Islam menghalalkan perbuatan membunuh diri, maka dia akan jatuh kafir. Namun jika dia melakukan perkara itu kerana terikut dengan perasaan, maka sekadar akan jatuh hukum haram dan berdosa besar.

 

Bunuh diri dalam keadaan tidak sengaja

Perbuatan membunuh diri juga boleh dilakukan oleh seseorang dalam keadaan tidak sengaja kerana hilang akal atau tidak sedarkan diri. Perkara ini tidak menjadi satu dosa ke atasnya seperti yang ternyata dalam satu hadis diriwayatkan oleh Ali bin Abi Thalib RA, Rasulullah SAW bersabda:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ، وَعَنِ الْمَجْنُونِ حَتَّى يَعْقِلَ

Maksudnya: “Telah diangkat pena dari tiga golongan: daripada orang yang tidur sehingga dia bangun, daripada bayi sehingga dia baligh dan daripada orang gila sehingga dia sedar”.

Oleh itu, tindakan pelaku yang berkenaan tidak dikira sebagai dosa besar. Sebagai contoh, penyakit skizofrenia yang disabitkan bahawa sehingga pesakit hilang akal, oleh itu mereka terkeluar dari taklif. Pasa masa yang sama, mereka tidak seharusnya dibiarkan tanpa pengawasan dan perlu dirawat bertepatan dengan tuntutan maqasid syariah ‘حفظ النفس’ iaitu menjaga nyawa.

 

Bunuh diri pasti masuk neraka?

Menurut Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (INHAD), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Dr Mohd Khafidz Soroni, walaupun hadis menyatakan bahawa seseorang yang membunuh diri akan dimasukkan ke dalam neraka, ia sebenarnya tertakluk kepada kehendak Allah SWT.

Seperti firman Allah SWT di dalam Surah an-Nisa’:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua) dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya.”

Surah an-Nisa’: 48

Mohd Khafidz berkata rasa stress dan kemurunganm yang elampau hingga timbul perasaan ingin membunuh diri adalah keadaan yang perlu dirawat. 

Tambah Ustaz Azhar, pelaku tidak harus disabitkan oleh orang lain bahawa dia pasti akan dimasukkan ke neraka atas sebab membunuh diri. Hal ini adalah kerana dia akan dibicarakan dan keputusannya adalah terserah kepada Allah SWT. Jika Allah SWT menghendaki pelaku tersebut akan diampunkan, sebaliknya jika tidak dia akan diazab sekadar yang dikehendakiNya. Ustaz Azhar turut berkata terdapat orang yang bunuh diri tidak berdosa seperti orang disihir dan orang gila.

 

Ingin mati

Bagi umat Islam, mempunyai keinginan untuk mati akibat ujian duniawi yang dihadapi juga tidak dibenarkan. 

Rasulullah SAW bersabda:

لا يَتمنَّينَّ أحدُكمُ الموتَ مِن ضُرٍّ أصابَهُ، فإن كانَ لا بدَّ فاعِلًا، فليقُلْ اللَّهُمَّ أحيِني ما كانتِ الحياةُ خَيرًا لي، وتوفَّني إذا كانتِ الوفاةُ خَيرًا لي

Maksudnya: “Janganlah mengharapkan kematian kerana tertimpa musibah duniawi, jika terpaksa, maka hendaklah ia mengucapkan: ‘Ya Allah panjangkan hidupku, jika kehidupan itu lebih baik bagiku, dan wafatkanlah aku jika kematian itu lebih baik bagiku’!”

Riwayat al-Bukhari, no. 5671, dan al-Nasa’i, no. 1820

Menerusi hadis tersebut, Rasulullah SAW mengajar umatnya supaya sentiasa berdoa kepada Allah SWT apabila menghadapi cabaran atau ujian.

Pada masa yang sama, para ulama membahagikan keinginan atau harapan untuk mati kepada dua. Pertama adalah mengharapkan kematian kerana fitnah (cubaan) duniawi seperti sakit dan miskin, yang makruh hukumnya. Manakala, yang kedua adalah mengharapkan kematian kerana fitnah ukhrawi (agama) yang diharuskan.

Rasulullah SAW pernah berdoa: 

“Jika Engkau berkehendak memberikan fitnah (cubaan dalam agama) kepada hambamu, maka cabutlah (nyawa)ku dalam keadaan tidak tertimpa fitnah (cubaan) itu!“

Umat Islam boleh mengharapkan mati sekiranya ia atas sebab mati syahid kerana untuk menegakkan syiar islam, seperti sabda Rasulullah SAW: 

مَنْ سألَ اللهَ الشَّهادَةَ مُخْلِصًا أعطاهُ اللهُ أَجْرَ شَهِيدٍ وإِنَّ ماتَ على فِرَاشِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa memohon kepada Allah mati syahid, maka Ia akan menyampaikannya ke darjat para syuhada’ walaupun ia mati di atas katilnya.”

Riwayat Muslim, no. 1909, dan Abu Daud no. 1520

 

Seseorang Islam tidak sepatutnya dikatakan pasti akan memasuki neraka atas sebab membunuh diri

Perbuatan membunuh diri adalah dilarang dalam Islam dan menjadi dosa besar, sehingga terdapat hadis-hadis yang menyatakan seorang Muslim yang membunuh diri akan diseksa di dalam neraka. Namun begitu, orang ramai tidak boleh juga menyatakan seseorang Muslim yang membunuh diri itu pasti akan dimasukkan ke dalam neraka. Hal ini adalah kerana ia tertakluk kepada kehendak Allah SWT dan Dia lebih mengetahui niat hati seseorang. Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Pengampun dan Maha Mengetahui.


Jika anda atau sesiapa sahaja yang dikenali mempunyai masalah menguruskan kesihatan mental, di sini kami menyediakan beberapa sumber yang boleh membantu masalah tersebut:

MALAYSIAN MENTAL HEALTH ASSOCIATION (MMHA) +603-27806803 | E-mel: [email protected] | Laman web: https://mmha.org.my/

BEFRIENDERS @ KL: +603-79568145 (24 jam), Ipoh: +605-5477933 (4pm hingga 11pm), Penang: +604-2815161 (3pm hingga 12am) | E-mel: [email protected] | Laman web: https://www.befrienders.org.my/ 

ALL WOMEN’S ACTION SOCIETY (AWAM) @ talian bantuan Telenita:  +603-78770224 | E-mel: [email protected] | Laman web: https://www.awam.org.my 


Rujukan:

1. https://malaysiabersuara.com/artikel/semak-fakta/benarkah-lebih-banyak-kes-bunuh-diri-terjadi-dalam-kalangan-lelaki/
2. https://muftiwp.gov.my/en/perkhidmatan/artikel-soal-jawab/1124-bayan-linnas-siri-74-tekanan-hidup-yang-membawa-bunuh-diri-hukum-dan-penyelesaiannya
3. https://mykmu.net/2023/01/25/adakah-membunuh-diri-akan-dihukum-murtad-dan-kekal-dalam-neraka/
4. http://ekemusykilan.penang.gov.my/bank_detail.php?id=748
5. https://www.hmetro.com.my/addin/2021/07/726218/bunuh-diri-dosa-besar-khianati-amanah
6. YouTube Ustaz Azhar Idrus Official
7. https://muftiwp.gov.my/en/perkhidmatan/artikel-soal-jawab/1124-bayan-linnas-siri-74-tekanan-hidup-yang-membawa-bunuh-diri-hukum-dan-penyelesaiannya

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 9 months ago