Adakah Usaha Boikot Berkesan Dalam Memberi Tekanan Kepada Syarikat Yang Menyokong Israel?

Benar
Adakah Usaha Boikot Berkesan Dalam Memberi Tekanan Kepada Syarikat Yang Menyokong Israel?

Penindasan oleh Israel ke atas Palestin telah menggerakkan usaha-usaha boikot ke atas produk rejim itu serta syarikat yang menyokongnya

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 24/10/2023 - Disunting : 24/10/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Usaha Boikot Berkesan Dalam Memberi Tekanan Kepada Syarikat Yang Menyokong Israel?

Boikot merupakan suatu usaha tidak membeli produk atau mengambil bahagian dalam sesuatu aktiviti untuk menunjukkan penolakan yang kuat terhadap suatu isu. Kini, dengan keadaan yang semakin meruncing di Palestin, ramai pihak bertindak untuk menjalankan usaha boikot ke atas produk buatan Israel dan syarikat yang menyokong rejim itu. Namun, timbul persoalan sama ada usaha memboikot produk Israel ini berkesan dalam memberikan tekanan kepada pihak tertentu.

 

Sejarah boikot ke atas Israel

Sewaktu mula diwujudkan pada tahun 1948, Israel telah menghadapi tekanan boikot dari negara-negara Arab. Melalui usaha boikot utama, Israel menjadi sebuah rejim yang dikenali sebagai ‘economic island’ kerana negara-negara Arab enggan melakukan perniagaan dengannya. 

Usaha boikot ini berterusan dengan boikot sekunder, yang mana Arab dan beberapa negara lain mengancam akan menghukum syarikat-syarikat yang menjalankan perniagaan dengan Israel. Perkara ini menyebabkan banyak barangan harian tidak dijual di Israel dan industri rejim itu tidak boleh mendapatkan bahan mentah dan produk perindustrian dari pihak ketiga yang risau dengan ancaman boikot sekunder.

Namun begitu, boikot sekunder mula terlerai setelah Perdana Menteri Israel Yitzhak Rabin dan Perunding Palestine Liberation Organization (PLO) Mahmoud Abbas menandatangani Declaration of Principles on Interim Self-Government Arrangements pada 13 September 1993. Lebih dikenali sebagai ‘Oslo Accord’, perjanjian ini menyebabkan ekonomi Israel meningkat. 

Kini, ekonomi Israel tidak lagi senang terkesan dengan gerakan boikot. Hal ini adalah kerana Israel telah meletakkan fokus eksport terhadap barangan unik dan berkualiti tinggi yang membuatkannya sukar diganti oleh pengguna.

Pada November 2015, Kesatuan Eropah (EU), walaupun mempunyai ikatan dengan pihak Israel, telah meminta supaya semua produk yang dihasilkan di penempatan Israel di Tebing Barat dilabel. Ia bertujuan untuk membantu pengguna yang ingin mengelak daripada membeli produk tersebut. Secara tidak langsung, ia menunjukkan bahawa EU menentang penempatan yang dibina tetapi menolak tanggapan bahawa kerajaan Israel itu haram.

 

The Boycott, Divestment, Sanctions (BDS)

Usaha boikot ke atas Israel diteruskan sebagai tentangan terhadap pendudukan haram yang dilakukan di tanah Palestin. Salah satu kumpulan bertaraf antarabangsa yang terlibat dengan usaha boikot tersebut adalah The Boycott, Divestment, Sanctions (BDS). BDS memperjuangkan supaya sokongan oleh pihak antarabangsa ke atas rejim zionis itu dihentikan. Ia juga menyokong kebebasan tanah Palestin dan menegaskan supaya Israel mematuhi undang-undang antarabangsa.

Dilancarkan pada tahun 2005, BDS menyatukan aktivis Palestin dalam usaha menyeru dunia untuk memperjuangkan kebebasan, keadilan dan kesaksamaan tanah suci itu. Boycott, Divestment, dan Sanctions atau dalam Bahasa Melayunya boikot, pelupusan dan sekatan merupakan kaedah tekanan tanpa kekerasan yang digunakan oleh kumpulan itu terhadap rejim Israel.

Ia telah dilancarkan oleh 170 kesatuan Palestin, rangkaian pelarian, pertubuhan wanita, persatuan profesional, jawatankuasa penentangan popular dan badan masyarakat sivil Palestin yang lain. Kini, BDS boleh ditemui di seluruh dunia termasuk Malaysia yang merangkumi kesatuan, persatuan akademik, gereja dan gerakan akar umbi.

BDS bukan sahaja mempromosikan boikot ke atas barangan buatan Israel, tetapi juga memboikot ahli seni dan akademi Israel. Malah, BDS turut meminta supaya sekatan ke atas kerajaan Israel dilakukan oleh kerajaan-kerajaan lain dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa. 

 

Kumpulan gerakan boikot utama di dalam negara adalah BDS Malaysia yang disertai oleh beberapa badan bukan kerajaan iaitu MyCare, Al-Quds Foundation Malaysia, Viva Palestina Malaysia, HARMONI dan Malaysia Consultative Council of Islamic Organisation (MAPIM).

Melalui usaha Boikot, Lupus dan Sekat, BDS Malaysia menjadi sebahagian daripada gerakan global yang memperjuangkan pembebasan tanah Palestin. Berikut merupakan usaha yang dijalankan oleh BDS Malaysia:

Boikot

Usaha boikot menyasarkan produk serta syarikat (milik Israel & antarabangsa) yang mengaut keuntungan hasil dari pencabulan hak rakyat Palestin. Ini termasuklah institusi sukan, kebudayaan serta akademik milik Israel.

Lupus

Usaha lupus menyasarkan syarikat yang bersubahat mencabul hak rakyat Palestin dan memastikan perkara seperti portfolio pelaburan universiti serta dana pencen tidak digunakan untuk membiayai syarikat-syarikat tersebut.

Sekat

Usaha sekat perkara seperti diplomasi dan ekonomi dapat menghalang Israel dari mendapatkan pelbagai keperluan seperti senjata bagi meneruskan kekejaman mereka ke atas rakyat Palestin.

 

Kesan boikot terhadap syarikat

Profesor Brayden King dari Institute for Policy Research Northwestern University, berkata usaha boikot sering kali dijalankan dengan matlamat untuk menekan kewangan suatu syarikat dengan meyakinkan orang ramai supaya tidak membeli dari syarikat itu. Namun begitu, King mendapati boikot selalunya tidak memberi impak yang besar terhadap pendapatan syarikat. Perkara ini adalah kerana sifat kebiasaan atau ‘habitual’ pengguna yang telah biasa menggunakan sesuatu produk. Pada masa yang sama, King berkata mereka yang memboikot suatu syarikat mungkin bukan pengguna sasaran sejak mula.

Sebaliknya, kajian oleh King menemui walaupun boikot tidak memberi kesan terhadap pendapatan, tetapi usaha itu boleh mengancam reputasi syarikat. Ancaman ini menjadi lebih besar apabila liputan media secara negatif dilakukan terhadap syarikat tersebut.

King berkata perhatian media ke atas suatu isu merupakan indikasi utama yang menunjukkan boikot itu efektif. Keberkesanan boikot tidak diukur melalui jumlah orang yang telah menandatangani suatu petisyen atau berapa ramai pengguna yang digerakkan dalam usaha itu. Menurut King, usaha boikot yang paling berjaya adalah yang telah mendapat liputan media terbanyak, terutamanya terhadap satu syarikat berprofil tinggi. Liputan sebegini akan menyebabkan harga saham menjunam, seterusnya mendesak syarikat untuk mengubah polisinya. 

 

Melalui satu artikel oleh ‘Knowledge at Wharton’ di Wharton School of the University of Pennsylvania, dinyatakan bahawa jika matlamat boikot adalah supaya syarikat sasaran menurut permintaan pemboikot, kebarangkalian berjaya adalah tidak tinggi. Professor Emeritus Psikologi Monroe Friedman dari Eastern Michigan University telah mengkaji 90 usaha boikot di Amerika Syarikat dari tahun 1970 hingga 1980. Friedman mendapati hanya 24 daripadanya yang berjaya, sama ada sepenuhnya atau separa, dalam mengubah tindakan sasaran boikot. 

Dalam masa yang sama, kajian menunjukkan bahawa kempen boikot yang lebih tersusun dan terancang, termaksud penggunaan kaedah ‘picketing’ atau protes dan teknik-teknik menarik perhatian yang lain, mempunyai keberkesanan yang lebih tinggi. 

Stephen Pruitt, profesor ekonomi dan kewangan di University of Missouri, telah melakukan satu kajian ke atas harga saham 21 syarikat yang menjadi sasaran boikot, salah satunya adalah Nestle. Dia mendapati bahawa harga saham merudum dua bulan setelah boikot dilancarkan dan setiap syarikat tersebut mengalami purata kerugian lebih $120 juta dalam pemodelan pasaran.

Walau bagaimanapun, tiada penurunan dalam harga saham setelah tempoh dua bulan tersebut, tetapi tiada juga bukti bahawa harga saham meningkat semula. Pruitt merasakan bahawa satu usaha boikot berjaya jika harga saham syarikat disasar menurun, walaupun syarikat tidak menurut permintaan pihak pemboikot. 

 

Malah, profesor ekonomi Andrew John di Melbourne Business School berkata walaupun kerugian yang dilakukan tidak terlalu besar, tetapi ia berkekalan dalam jangka masa panjang. Menurutnya, kebanyakan syarikat membelanjakan sejumlah sumber yang besar dalam mewujudkan hubungan kukuh dengan pengguna. Oleh itu, boikot boleh merosakkan hubungan tersebut seterusnya menyebabkan pengguna mencari dan mencuba produk dari syarikat lain.

Satu kajian ke atas usaha boikot oleh negara-negara Arab terhadap Israel telah diterbitkan dalam The RAND Journal of Economics pada tahun 1998. Kajian tersebut mendapati bahawa boikot memberi kesan yang besar terhadap kebajikan pengguna di Israel.

 

Adidas dan Israel Football Association

Satu contoh kejayaan dalam usaha boikot adalah apabila Adidas menghentikan penajaan bagi Persatuan Bolasepak Israel (IFA) yang merangkumi enam pasukan bola sepak terletak di tanah haram Israel. Ia berikutan desakan oleh 130 kelab bola sepak Palestin pada tahun 2018 supaya tajaan terhadap pihak yang terlibat dengan penindasan ke atas Palestin dihentikan. Kempen tersebut telah menerima lebih 16,000 tandatangan petisyen.

Sumber: BDS

Setelah menghentikan tajaannya, Adidas kemudiannya berkata bahawa ia telah mengangkat isu pendudukan Israel dengan pihak Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). Menjadi salah satu rakan kerjasama utama FIFA, Adidas sedar akan kepentingan FIFA untuk menyelesaikan isu pasukan Israel menurut undang-undang antarabangsa dan polisi hak kemanusiaan. Perkara ini turut dikemukakan oleh pertubuhan antarabangsa seperti Human Rights Watch, pakar Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu dan 175 penggubal undang-undang. 

Sebelum ini, Adidas pernah menaja ‘Jerusalem marathon’ dengan laluan merangkumi tanah haram Israel serta memasuki kawasan Timur Jerusalem Palestin. Setelah menghadapi tekanan dalam bentuk boikot, protes dan kritikan oleh kerajaan-kerajaan lain, syarikat itu menghentikan tajaannya.

 

Boikot mampu memberi tekanan terhadap syarikat yang menyokong Israel

Melalui pelbagai kajian yang dijalankan, ternyata bahawa usaha boikot dapat memberi kesan dalam pelbagai cara termasuk penurunan harga saham. Profesor Americus Reed II dari Wharton berkata untuk menjayakan boikot, perkara yang menyebabkan gerakan itu terjadi perlu jelas dan dahsyat. Tambahnya lagi, dengan kemajuan internet, kini berita boleh tersebar dengan pantas kepada lebih ramai orang. Namun begitu, teknologi tersebut turut boleh melemahkan usaha boikot kerana sesetengah individu sudah menjadi tidak sensitif terhadap berita-berita buruk.

Untuk menjayakan boikot, Reed berkata gerakan itu juga perlu memudahkan pengguna untuk menyokongnya melalui kos kewangan dan psikologi yang rendah. Penyertaan di dalam usaha boikot menjadi lebih mudah jika produk atau servis yang ingin diboikot mempunyai pengganti. 

Orang ramai diingatkan juga supaya memboikot syarikat yang benar-benar disasar oleh pihak terlibat seperti BDS. BDS menjalankan usaha boikot secara tersasar atau ‘targeted boycotting’, iaitu memberi fokus boikot terhadap beberapa syarikat tertentu untuk mendapatkan impak maksimum.

Boikot tersasar memberi fokus kepada bilangan syarikat yang kecil. Sumber: BDS

Syarikat yang disasarkan memainkan peranan yang jelas dan secara langsung terhadap Israel. Menurut BDS Malaysia, usaha boikot perlu disasarkan terhadap Caltex, Caterpillar, G4S, HP, dan Puma.

Baca Juga: Perlukah Starbucks, Coca-Cola dan McDonald’s diboikot dalam usaha menentang Israel? 


Rujukan:

1. https://dictionary.cambridge.org/dictionary/english/boycott
2. https://www.brookings.edu/articles/how-much-does-bds-threaten-israels-economy/
3. https://history.state.gov/milestones/1993-2000/oslo
4. https://bdsmovement.net/
5. https://bdsmalaysia.com/kenali-bds/
6. https://www.theguardian.com/world/2015/nov/11/eu-sets-guidelines-on-labelling-products-from-israeli-settlements
7. https://www.ipr.northwestern.edu/news/2017/king-corporate-boycotts.html
8. https://knowledge.wharton.upenn.edu/podcast/knowledge-at-wharton-podcast/to-boycott-or-not-the-consequences-of-a-protest/
9. https://www.jstor.org/stable/2555822
10. https://bdsmovement.net/news/team-justice-scores-adidas-no-longer-sponsoring-israel-football-association
11. https://bdsmovement.net/get-involved/what-to-boycott

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 6 months ago