Adakah Wajib Solat Selepas Keluar Darah Sebelum Bersalin?

Benar
Adakah Wajib Solat Selepas Keluar Darah Sebelum Bersalin?

Rata-rata wanita hamil yang hendak bersalin akan mengeluarkan darah ketika proses kelahiran bermula

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 14/11/2024 - Disunting : 14/11/2024

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Wajib Solat Selepas Keluar Darah Sebelum Bersalin?

Bagi seorang wanita Muslim, kedatangan haid bermakna dia diharamkan daripada menunaikan solat. Jika haid melebihi tempoh masa 15 hari, darah yang masih keluar digelar sebagai istihadah iaitu darah penyakit, dan seorang wanita yang mengalaminya diwajibkan untuk menunaikan solat lima waktu sehari.

Jika seorang wanita baru melahirkan bayi pula, darah yang keluar digelar sebagai nifas yang menyebabkan dia tidak perlu menunaikan solat. Namun ibu hamil yang menghampiri waktu untuk melahirkan bayi juga kebiasaannya akan menunjukkan tanda-tanda bersalin yang termasuk keluar darah beserta lendir (bloody show) dan pecah air ketuban.

Dalam pada itu, timbul persoalan tentang hukum darah yang keluar sebelum bersalin dan adakah wanita hamil masih wajib menunaikan solat apabila tanda-tandanya muncul.

 

Darah sakit ingin melahirkan bayi berbeza dengan darah nifas

Bagi memahami perkara ini, penting agar terlebih dahulu memahami perbezaan antara darah nifas dan darah yang keluar sebelum melahirkan bayi.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, nifas adalah darah yang keluar setelah rahim dikosongkan daripada janin, ketulan darah (‘alaqah) atau ketulan daging (mudghah) yang keluar dalam tempoh 15 hari selepas bersalin. 

Sebaliknya, berdasarkan pendapat paling sahih mazhab Syafie, darah yang keluar kerana sakit bersalin dan sebelum bersalin bukanlah darah nifas, tetapi darah penyakit (fasad) yang dikenali sebagai dam al-thalaq. Ia juga merupakan pandangan ulama mazhab Hanafi dan Hanbali.

Berkata Imam al-Nawawi: “Dan darah yang kelihatan (keluar) kerana al-thalaq (kesakitan beranak) itu bukanlah darah nifas dan bukan juga darah haid mengikut pendapat yang sahih”. (Rujuk: Raudhah al-Tolibin, 1/175).

 

Air ketuban juga dikira sebagai darah fasad

Selain daripada darah yang keluar kerana hendak bersalin, terdapat juga air ketuban yang mengalir sama ada secara sendiri atau apabila dipecahkan petugas kesihatan.

Menurut Allahyarhamah Ustazah Shadiya Abbas, air ketuban juga ialah darah fasadTambahnya, darah fasad adalah antara kategori darah yang keluar daripada kemaluan wanita selain haid, nifas dan istihadah.

“Darah fasad ialah darah rosak yang biasanya keluar disebabkan sakit kontraksi kerana ketegangan pada vagina yang juga boleh berlaku kerana penyakit tertentu termasuk kanser hingga menyebabkan pendarahan yang keluar daripadanya.

“Bagi darah haid dan istihadah (penyakit), ada tempoh tertentu mengenal pastinya, manakala darah fasad boleh berlaku bila-bila masa termasuk kepada kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun ke bawah yang belum baligh,” jelasnya.

 

Keluar darah fasad tidak perlu mandi wajib

Seperti istihadah, darah fasad dihukumkan sebagai darah rosak. Oleh itu, wanita yang masih belum melahirkan bayi wajib menunaikan solat dan hanya perlu membersihkan darah yang keluar. Ini adalah berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.A

Maksudnya: “Telah datang Fatimah binti Abi Hubaisy menemui Rasulullah S.A.W dan berkata, ‘Wahai Rasulullah, aku adalah seorang perempuan yang beristihadhah dan oleh kerana itu, aku tidak suci. Adakah aku perlu meninggalkan solat’.”

Sabda Nabi S.A.W: “Janganlah kamu meninggalkan solat, hanyasanya istihadhah itu adalah sejenis darah penyakit dan bukannya darah haid. Apabila haid datang, maka engkau tinggalkanlah solat dan apabila ia putus yakni berhenti, maka bersihkanlah dirimu daripada darah tersebut dengan mandi dan hendaklah engkau menunaikan solat”.

Riwayat al-Bukhari (255)

 

Di sisi mazhab Syafie, air ketuban yang keluar sebelum bersalin dihukum sebagai najis dan membatalkan wuduk memandangkan ia keluar daripada faraj. Oleh itu, wanita perlu bersuci untuk menghilangkan najis itu jika air ketuban telah kering sebelum menunaikan solat. 

Dalam keadaan air ketuban keluar secara berterusan, ia dihukum sama seperti istihadah iaitu masih wajib menunaikan solat walaupun tidak dapat menghilangkan najis sepenuhnya. Oleh itu ibu hamil perlu menyumbat faraj dengan kain atau kapas untuk menahannya daripada mengalir keluar.

Walaupun seorang ibu telah keluar darah dan air ketuban lebih awal, proses kelahiran bayi kadangkala boleh mengambil masa yang lama dan berbeza bagi setiap wanita.

Menurut pendakwah Ustaz Azhar Idrus, dalam keadaan proses kelahiran anak mengambil masa sehingga habis waktu solat, solat tersebut perlu diganti semula setelah ibu suci daripada darah nifas. Contohnya adalah ketika kepala bayi sudah mula keluar daripada faraj, tetapi mengambil masa lama untuk keseluruhan tubuhnya dilahirkan.

 

Wanita perlu mandi wajib setelah alami keguguran

Selain keluar darah selepas bersalin, ibu hamil yang mengalami keguguran juga akan kehilangan darah menerusi rahimnya. 

Berdasarkan pendapat sahih oleh Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu’, jika seorang wanita mengalami keguguran sama ada dalam bentuk gumpalan darah atau ketulan daging, dia perlu mandi wajib terlebih dahulu sebelum menunaikan solat.

Dalam kitab Raudhah al-Tolibin pula, Imam al-Nawawi berkata sama ada bayi yang dilahirkan itu sempurna, tidak sempurna, meninggal dunia atau keguguran dalam bentuk segumpal darah atau seketul daging, darah yang keluar dihukumkan sebagai nifas. 

Namun perkara itu, terutamanya dalam kes keguguran, haruslah disahkan terlebih dahulu oleh bidan atau doktor pakar.

“Dalam hukum nifas, sama ada anak yang lahir itu dalam bentuk penciptaan yang sempurna, atau yang tidak sempurna, atau mati, atau gugur dalam bentuk ketulan daging atau segumpal darah, dan apabila berkata para bidan: ‘Sesungguhnya ini adalah permulaan penciptaan manusia.’ Maka darah yang wujud selepas itu adalah nifas.”

Raudhah al-Tolibin

Merujuk kepada risalah oleh Jabatan Kebajikan Negeri Selangor, seorang wanita masih wajib menunaikan solat walaupun telah berlaku keguguran, jika janin masih belum dikeluarkan daripada rahim. Perkara ini adalah kerana dia masih belum mengeluarkan darah wiladah atau darah nifas.

 

Wanita hamil keluar darah ‘spotting’ tidak perlu mandi wajib

Selain daripada keguguran, sesetengah wanita yang sedang hamil boleh mengalami pendarahan seperti ‘spotting’ dan ‘bleeding’ yang lebih banyak.

Dalam keadaan ini, jika bayi dalam kandungan masih selamat (tidak keguguran), ibu hamil wajib menunaikan solat seperti biasa kerana darah yang keluar itu adalah darah istihadah (penyakit) dan bukannya darah wiladah.

Untuk info, darah wiladah dan nifas adalah berbeza mengikut kepada waktu ianya dikeluarkan. Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, kitab Fiqh al-Manhaji menjelaskan definisi al-wiladah sebagai bersalin. 

Walaupun tiada darah nifas yang keluar selepas bersalin, namun hukum wanita yang melahirkan bayi adalah sama seperti hukum janabah. Ini adalah kerana bayi yang dilahirkan merupakan hasil gabungan air mani isteri dan suami.

Oleh itu mengikut pandangan mazhab Syafie, jika wanita bersalin tanpa darah sekalipun, dia tetap dikira berhadas besar dan perlu mandi wajib sebelum menunaikan solat. Hukum ini adalah sama tidak kira bentuk atau cara bayi dilahirkan, termasuklah menerusi kaedah Cesarean.

 

Wajib solat setelah keluar darah sebelum bersalin

Walaupun telah keluar darah ketika sakit hendak bersalin, seorang wanita masih wajib menunaikan solat fardu memandangkan darah yang keluar dihukumkan sebagai fahad atau istihadah, dan bukannya wiladah atau nifas.

 

Baca Artikel Berkaitan: Bolehkah Wanita Mengandung Atau Menyusukan Anak Tidak Berpuasa Ramadan?

Baca Artikel Berkaitan: Adakah Senggugut Atau ‘Period Pain’ Yang Teruk Ketika Haid Merupakan Perkara Biasa?


Rujukan:

1. https://emusykil.muftiselangor.gov.my/index.php/site/jawapan?id=3721
2. https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/umum/4154-irsyad-al-fatwa-ke-411-hukum-solat-bagi-wanita-yang-keluar-darah-dan-air-ketuban-sebelum-bersalin
3. https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2019/03/540366/wajib-tunai-solat-walau-alami-kontraksi-tanda-bersalin
4. https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/umum/4154-irsyad-al-fatwa-ke-411-hukum-solat-bagi-wanita-yang-keluar-darah-dan-air-ketuban-sebelum-bersalin
5. https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/umum/3762-irsyad-al-fatwa-siri-ke-326-status-darah-semasa-keguguran
6. https://jknselangor.moh.gov.my/htar/images/pdf/UHEI/wanita_dan_darah.pdf

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 month ago