Benarkah 98% Warganegara Bukan Islam Mengundi Dan Menyokong DAP Dalam PRU ke-15 Seperti Didakwa Hadi Awang?

Salah
Benarkah 98% Warganegara Bukan Islam Mengundi Dan Menyokong DAP Dalam PRU ke-15 Seperti Didakwa Hadi Awang?

Hadi Awang mendakwa 98% rakyat Malaysia bukan Islam telah dikerah untuk mengundi dan menyokong DAP dalam PRU15

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 21/12/2022 - Disunting : 21/12/2022

Keputusan:Salah

Petition to

Benarkah 98% Warganegara Bukan Islam Mengundi Dan Menyokong DAP Dalam PRU ke-15 Seperti Didakwa Hadi Awang?

Pada 21 Disember 2022, Tan Sri Haji Abdul Hadi Awang telah mengeluarkan sebuah kenyataan yang disebut sebagai  ‘surat terbuka kepada jemaah haji dan umrah yang tidak mengundi’. Di dalam surat tersebut, Hadi Awang mendakwa bahawa seramai 98% rakyat Malaysia bukan Islam telah mengundi Parti Tindakan Demokratik (DAP) di dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu. Manakala masyarakat Islam yang keluar mengundi pula hanya sekitar 60%.

Katanya lagi, masyarakat Islam yang tidak keluar mengundi bermaksud mereka tidak menunaikan suatu kewajipan. Antara alasan yang diberikan untuk tidak mengundi adalah kerana menunaikan ibadah haji dan umrah, serta ada yang mengharapkan duit poket. Persoalannya, adakah statistik yang disebut oleh Hadi Awang benar?

 

Membedah kenyataan Hadi Awang

Terdapat beberapa perkara yang boleh dipersoalkan daripada kenyataan oleh Hadi Awang tersebut. Pertama, bagaimana Hadi Awang mengetahui statistik pengundi berdasarkan agama mereka? Jika dilihat di dalam senarai daftar pemilih oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), tiada demografi pengundi berdasarkan agama mahupun kaum. Mungkin ada yang menganggap agama seseorang boleh ‘diteka’ berdasarkan namanya. Namun begitu, harus diingat bahawa tidak semestinya seseorang yang beragama Islam menggunakan nama Melayu

Contoh Senarai Daftar Pemilih
Sumber: SPR

Menurut Mohamad Shahhanaz Bin Nazarudin, bekas jurulatih Pilihan Raya PKR yang berpengalaman dengan prosedur SPR ketika PRU, senarai daftar pemilih yang telah ditanda sewaktu PRU tidak perlu diserahkan kepada SPR dan boleh disimpan oleh setiap parti yang bertanding di satu-satu kerusi. Memandangkan senarai tersebut mengandungi nombor kad pengenalan setiap pengundi, pemegang senarai mungkin boleh menjejaki agama dan bangsa mereka. Namun begitu, ia tidak mengandungi sebarang maklumat mengenai parti yang diundi oleh pengundi. 

Umum sedia maklum bahawa undi adalah rahsia. Tidak semestinya kesemua pengundi bukan Islam tidak mengundi PAS dan hanya mengundi DAP. Begitu juga tidak semestinya DAP tidak mendapat sokongan daripada masyarakat Islam. Jika benar semua pengundi bukan Islam mengundi DAP sekalipun, harus diingat bahawa DAP tidak bertanding di semua kerusi parlimen atau negeri. Dalam PRU lepas, DAP hanya bertanding di 55 daripada 222 kerusi parlimen dengan 40 daripada mereka dilantik menjadi Ahli Parlimen.

Berdasarkan Seksyen 5 di dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, tiada sesiapa yang bertugas di tempat mengundi boleh cuba mendapatkan maklumat tentang siapa yang ingin atau telah diundi. Mereka juga tidak boleh berkongsi maklumat berkenaan calon yang hendak atau telah diundi oleh pengundi sekiranya mereka mengetahui maklumat tersebut.

Undi.info oleh Malaysia Kini mempunyai statistik kaum pemilih bagi setiap kerusi parlimen dan negeri pada PRU ke-14, tetapi data bagi PRU ke-15 masih belum tersedia. Mungkin statistik tersebut boleh digunakan untuk menganggar jumlah pemilih yang telah mengundi berdasarkan kaum tetapi ianya masih tidak dapat digunakkan untuk menganggar jumlah pemilih berdasarkan agama. 

Di samping itu, Hadi Awang seolah-seolah berkata tiada rakyat bukan Islam yang mengundi PAS. Walhal, PAS sendiri mempunyai sayap parti Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) bagi ahli bukan Islam. Ia merangkumi ahli Cina dan India seperti YB Senator Balasubramaniam A/L Nachiappan selaku Ketua DHPP Pusat dan Lim Guan Seng selaku Ketua DHPP Kelantan.

 

Statistik peratus keluar mengundi

Menurut SPR, peratusan keluar mengundi bagi PRU ke-15 adalah 73.89%. Analisis data lebih lanjut oleh Thevesh Theva, seorang saintis data, menunjukkan bahawa tiada mana-mana Parlimen yang mempunyai peratus keluar mengundi sehingga 90%. Parlimen dengan peratus keluar mengundi tertinggi adalah Putrajaya (85.5%) diikuti dengan Terengganu (80.2%) dan Selangor (79.7%). 

Thevesh merasakan dakwaan bahawa 98% bukan Islam mengundi dalam PRU ke-15 adalah tidak logik kerana tiada mana-mana kawasan yang mempunyai peratus keluar mengundi melebihi 85%. Perkara ini termasuk bagi pengundi di kawasan majoriti penduduk Cina seperti Pulau Pinang yang mempunyai peratus keluar mengundi sederhana.

 

Dakwaan oleh Hadi Awang tidak dapat dibuktikan

Memandangkan tiada data atau statistik yang berkenaan yang dapat ditemukan, dakwaan oleh Hadi Awang boleh dilihat sebagai suatu retorik politik. Hadi Awang seharusnya mengemukakan analisis yang diguna pakai bagi mendapat kesimpulan sedemikian bagi mengukuhkan dakwaannya. 


Rujukan:

1. https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3953-al-kafi-1509-hukum-menukar-nama-bagi-mualaf-setelah-memeluk-islam
2. https://malaysiabersuara.com/artikel/semak-fakta/adakah-undi-di-pilihan-raya-umum-rahsia/
3. https://www.utusan.com.my/berita/2022/11/senarai-penuh-55-calon-dap-untuk-pru15/
4. https://www.spr.gov.my/sites/default/files/perundangan/akta-5-cetakan-semula-2016.pdf
5. https://malaysiabersuara.com/artikel/semak-fakta/adakah-kerajaan-yang-diterajui-pas-akan-menjadi-seperti-kerajaan-taliban/
6. https://www.facebook.com/DHPPPusat
7. https://www.thestar.com.my/news/nation/2022/11/20/ge15-final-voter-turnout-over-73-says-ec

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago