Benarkah Air Paip Lebih Berkhasiat Berbanding Air Ditapis RO?

Benar
Benarkah Air Paip Lebih Berkhasiat Berbanding Air Ditapis RO?

Terdapat individu yang mendakwa air minuman ditapis tidak mengandungi sebarang mineral

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 06/12/2023 - Disunting : 06/12/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Air Paip Lebih Berkhasiat Berbanding Air Ditapis RO?

Air merupakan bahan yang penting bagi tubuh badan dan membantu dalam pelbagai fungsi seperti mengawal suhu badan, melindungi sendi, saraf tunjang dan tisu sensitif, serta mengeluarkan bahan sisa melalui proses perkumuhan. Terdapat pelbagai jenis air kosong yang boleh diambil seperti air paip, air minuman yang ditapis dan air mineral.

Pengguna laman X, @Pelabur_Bijak telah membuat kenyataan bahawa lebih elok meminum air pair berbanding air ditapis seperti melalui osmosis songsang (RO). Katanya, air tapis tidak mempunyai sebarang khasiat atau mineral dan boleh menyebabkan kekurangan mineral. Perkara ini seterusnya menjadi risiko penyakit jantung, masalah tulang dan sistem saraf. Mari kita semak jika dakwaan tersebut benar.

Sebuah undian dalam talian di Malaysia mendapati 88.7% responden tidak bersetuju bahawa air paip selamat diminum. Perkara ini seterusnya dipercayai menyebabkan orang ramai memilih untuk menapis air paip sebelum diminum.

Baca Juga: Adakah Air Paip Di Malaysia Boleh Dan Selamat Diminum?

 

Air Ditapis RO

Air paip yang telah melalui proses tapisan seperti melalui kaedah osmosis songsang (RO) merupakan air yang telah ditapis. RO adalah salah satu kaedah penapisan air yang paling efektif kerana menggunakan bahan tapisan yang sangat halus untuk menyingkirkan bahan pencemar. Penapis RO yang digunakan di rumah dapat menyingkirkan sehingga 99% bahan plumbum, asbestos dan 82 bahan pencemar lain. Kaedah ini memudahkan pengguna kerana tidak perlu lagi memasak air paip sebelum diminum.

Penapis yang halus bukan sahaja menyingkirkan bahan pencemar bersaiz besar, tetapi juga bahan terlarut dan mineral dari dalam air. Hal ini adalah kerana proses RO dapat menapis hingga ke saiz molekul asas air. 

 

Air Mineral

Berbeza dengan air ditapis, air mineral merupakan minuman yang mengandungi banyak mineral atau gas terlarut. Antara bahan terlarut yang banyak ditemui di dalam minuman mineral adalah kalsium karbonat (CaCO3), magnesium sulfat (MgSO4), kalium (K) dan natrium sulfat (Na2SO4). Minuman mineral mungkin juga mengandungi gas karbon dioksida (CO2) dan hidrogen sulfit (H2S). 

Menurut United States Food and Drug Administration (FDA), air mineral diklasifikasikan sebagai minuman yang mengandungi sekurang-kurangnya 250 bahagian per juta (ppm) keseluruhan pepejal terlarut dan diambil daripada sumber air bawah tanah yang dilindungi. Tiada sebarang bahan mineral boleh ditambah ke dalam air untuk menjadikannya minuman mineral yang sah. Dalam masa yang sama, ia juga harus dipastikan selamat untuk diminum tanpa menjalani proses rawatan, melainkan penyingkiran bahan zarah dan besi secara tapisan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2004 telah memberikan cadangan piawaian kandungan mineral bagi air minuman seperti berikut:

  • Magnesium – sekurang-kurangnya 10 mg/l dan kandungan optimum 20-30mg/l.
  • Kalsium – sekurang-kurangnya 20mg/l dan kandungan optimum sekitar 50mg/l.
  • Bagi jumlah kepekatan garam terlarut (TDS), jumlah kalsium dan magnesium perlu sekitar 2 hingga 4 mmol/l.

Di Malaysia, kebanyakan mineral yang ditemui di dalam sampel air paip tidak melebihi had standard antarabangsa. Air paip yang diuji di pelbagai lokasi di Semenanjung Malaysia didapati selamat untuk diminum kerana kandungan mineralnya mengikut had standard yang ditetapkan di dalam Peraturan-peraturan Makanan 1985. Punca air mineral harus memiliki kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 

Kekurangan minuman RO

Minuman RO secara amnya selamat diminum dan tidak membahayakan kesihatan. Namun begitu, seperti yang didakwa oleh pengguna Twitter di atas, minuman RO sememangnya memiliki beberapa kekurangan. 

Memandangkan minuman RO dihasilkan dengan menapis air melalui penapis yang begitu halus, mineral berkhasiat seperti kalsium, magnesium dan kalium turut disingkirkan. Apabila mineral tersebut disingkirkan daripada dalam air, tahap pH air akan menurun dan menjadikannya lebih berasidik. Walaupun tahap asid tersebut tidak membahayakan kesihatan, namun ia boleh mengakis paip air dan menyebabkan air tercemar dengan logam toksik plumbum dan kuprum.

Pelbagai kajian yang dijalankan untuk mengkaji kesan terhadap kesihatan akibat meminum air ditapis meggunakan kaedah RO. Dalam satu kajian, didapati bahawa meminum air RO dikaitkan dengan kekurangan Vitamin B12 yang terjadi kerana air minuman tersebut telah kehilangan kandungan mineral.

WHO, di dalam penerbitannya mengenai nutrien di dalam air minuman, menyatakan bahawa pengambilan minuman tanpa mineral atau dengan kandungan mineral rendah boleh mengakitbatkan:

  • Kesan langsung terhadap membran mukus usus, metabolisma badan, homeostasis mineral dan lain-lain fungsi tubuh badan.
  • Kurang atau tiada pengambilan kalsium dan magnesium.
  • Pengambilan rendah elemen penting lain dan elemen mikro.
  • Kehilangan kalsium, magnesium dan elemen penting lain dalam penyediaan makanan.

 

Satu penerbitan mengkaji kesan ke atas kesihatan akibat meminum air dengan kandungan kalsium atau magnesium rendah. Meminum air dengan kandungan magnesium tinggi dapat dikaitkan dengan pengurangan risiko bagi penyakit kardiovaskular dan kematian mengejut akibatnya. Kajian mendapati pengambilan air minuman rendah magnesium mungkin mempunyai hubung kait dengan risiko tinggi penyakit saraf motor, masalah kehamilan, kematian mengejut bayi, dan sesetengah jenis kanser. 

Di samping itu, meminum air rendah kalsium dapat dikaitkan dengan risiko tinggi keretakan tulang kanak-kanak, penyakit neurodegeneratif tertentu, kelahiran pra-matang, berat badan rendah ketika kelahiran dan juga beberapa jenis kanser.

Malah, analisa mendapati bahawa penapisan air paip boleh menyingkirkan kandungan fluorida dengan mendadak dan sepenuhnya dalam sesetengah kes. Di Malaysia, bahan fluorida ditambah ke dalam air sejak tahun 1972 dengan tujuan untuk mengelakkan karies gigi, terutamanya dalam kanak-kanak.

Sekumpulan pengkaji dari McGill University menyatakan bahawa air minuman mungkin merupakan sumber diet utama bagi kalsium, magnesium dan natrium. Oleh itu, meminum air minuman tidak ditapis dapat memberikan pengambilan diet tambahan bagi kalsium dan magnesium, serta pengurangan pengambilan natrium.

 

Air RO tidak mengandungi kandungan mineral yang penting untuk tubuh badan

Carian kami mendapati bahawa air yang ditapis melalui kaedah RO telah kehilangan mineral penting, menjadikannya kurang berkhasiat berbanding air paip. Kekurangan mineral ini boleh menyebabkan risiko terhadap pelbagai masalah kesihatan seperti penyakit jantung, saraf dan tulang. Oleh itu, lebih baik jika mengambil air mineral atau air paip berbanding air minuman yang telah ditapis.

Diingatkan bahawa air paip di Malaysia sememangnya selamat untuk diminum, tetapi perlu dimasak terlebih dahulu untuk membunuh sebarang kuman. Mungkin terdapat sesetengah sumber minuman yang terdedah dengan logam berat, namun kajian mendapati jumlah logam berat di dalam air berada di bawah had yang dibenarkan.

Menurut Healthline, jika anda memilih untuk meminum air ditapis, pastikan untuk mendapatkan hidangan harian buah-buahan dan sayur-sayuran yang dicadangkan untuk memastikan jumlah mineral yang mencukupi.


Rujukan:

1. https://www.cdc.gov/healthyweight/healthy_eating/water-and-healthier-drinks.html
2. https://www.forbes.com/home-improvement/home/reverse-osmosis-water-pros-cons/
3. https://www.britannica.com/science/mineral-water
4. https://www.fda.gov/consumers/consumer-updates/bottled-water-everywhere-keeping-it-safe
5. https://www.who.int/publications/i/item/9241544805
6. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3353278/
7. https://www.hmetro.com.my/sihat/2019/05/459430/wajib-tahu-beza-air-mineral-air-minuman
8. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4948445/
9. https://iris.who.int/bitstream/handle/10665/43403/9241593989_eng.pdf?sequence=1
10. https://www.researchgate.net/publication/252043662_Health_Risk_from_Drinking_Demineralized_Water
11. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4623834/
12. https://jummec.um.edu.my/index.php/jummec/article/download/22362/12440/62453
13. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC1495189/
14. https://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S2210600615000532
15. https://www.healthline.com/health/can-you-drink-distilled-water

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago