Benarkah Duit Suami Hak Milik Isteri Sepenuhnya?

Salah
Benarkah Duit Suami Hak Milik Isteri Sepenuhnya?

Sesetengah orang mendakwa bahawa isteri mempunyai hak sepenuhnya ke atas duit suami

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 31/07/2023 - Disunting : 31/07/2023

Keputusan:Salah

Petition to

Benarkah Duit Suami Hak Milik Isteri Sepenuhnya?

Orang ramai pasti biasa mendengar istilah “Duit suami adalah duit isteri”. Sesetengah pihak mendakwa bahawa setiap wang yang dimiliki oleh suami merupakan hak isteri juga. Sehingga ada isteri yang mengambil duit suami dan mengawal perbelanjaannya. Persoalannya, adakah perkara ini benar dan bolehkah isteri mengambil kesemua duit suami?

 

Nafkah suami ke atas isteri

Dalam sesebuah perkahwinan, semestinya suami bertanggungjawab untuk memberi nafkah dan menyediakan keperluan bagi isterinya. Ustaz Harith Fadzilah Abdul Halim berkata istilah “duit suami adalah duit isteri” wujud atas kaitannya dengan munakahat (nikah) yang membicarakan tentang nafkah. 

Menurutnya, perkara yang dimaksudkan dengan “duit suami adalah duit isteri” adalah kewajiban suami untuk menanggung segala nafkah isteri dan keluarganya. Sebaliknya, isteri tidak perlu menanggung sebarang nafkah walaupun memiliki gaji yang lebih besar berbanding suami.

Dari sudut syarak, pemberian nafkah bermakna pembiayaan dari segi makanan, tempat tinggal dan lain-lain. Majoriti ulama membahagikan nafkah isteri kepada tujuh iaitu:

  • Makanan
  • Pakaian
  • Tempat tinggal
  • Barang-barang dapur
  • Alat pembersihan diri
  • Barang rumah
  • Pembantu rumah (jika isterinya pernah mempunyai sebelum berkahwin)

Ketentuan nafkah wajib ke atas suami ke atas isterinya, kerana itulah sering dikatakan “duit suami, duit isteri”. Sebagai tambahan, duit belanja bukanlah sejenis nafkah namun suami boleh memberi isteri nafkah dalam bentuk wang untuk digunakan bagi keperluannya.

BACA LANJUT: Adakah Nafkah Isteri Merangkumi Duit Belanja?

 

Isteri tidak diberi nafkah

Menurut Dr Mohd Sukki Othman,  Pensyarah Kanan I’jaz Al-Quran Universiti Putra Malaysia (UPM), istilah “duit suami, duit isteri” berbalik kepada soal tanggungjawab suami kepada isteri dan merujuk kepada duit nafkah. Memandangkan suami diwajibkan memberi nafkah kepada isterinya, kegagalan melakukan sedemikian bermakna dia telah mengambil bahagian duit isteri dan perkara ini adalah haram. 

Dr Mohd Sukki berkongsi kisah ketika zaman Rasulullah SAW, di mana Hindun binti ‘Utbah mengadu kepada Rasulullah SAW bahawa dia tidak menerima nafkah daripada suaminya, Abu Sufyan. Rasulullah SAW kemudiannya mengizinkan Hindun mengambil wang walaupun tanpa pengetahuan Abu Sufyan kerana duit tersebut merupakan haknya.

Berdasarkan kisah ini, ia menunjukkan bahawa sebahagian harta suami adalah hak isteri dan boleh diambil tanpa pengetahuan suami jika tidak diberi nafkah. Namun begitu, isteri tidak boleh mengambil kesemua duit suami dan hanya sekadar yang diperlukan. 

Dr Mohd Sukki berkata tindakan isteri memegang kesemua harta suami merupakan satu salah faham. Isteri boleh mengambil haknya tetapi tidak bermakna boleh mengambil kesemua harta kerana suami juga mempunyai hak ke atasnya dan Islam mengiktiraf hak masing-masing.

Di samping itu, Ustaz Azhar Idrus menyatakan bahawa haram isteri mengambil duit suami tanpa pengetahuannya jika sudah diberikan nafkah. Isteri juga harus bertanya kepada suami terlebih dahulu dan hanya atas tujuan nafkah atau keperluan rumah. Jika tidak diberikan wang, isteri boleh mengambil duit suami tanpa keizinannya tetapi perlu mengembalikan baki wang jika ada setelah membeli barang keperluan.

Harta sepencarian

Sebagai tambahan, selain daripada soal nafkah, isteri juga berhak ke atas harta sepencarian, walaupun dia hanya seorang suri rumah. Menurut Peguam Syarie Khairul Fahmi Ramli, harta sepencarian adalah harta yang diperoleh bersama oleh suami dan isteri dalam tempoh perkahwinan mereka.

Dia berkata, walaupun isteri tidak bekerja, isteri masih mempunyai hak ke atas harta sepencarian berdasarkan sumbangan tidak langsungnya kepada keluarga. Sumbangan tidak langsung ini merujuk kepada sumbangan isteri yang mengurus keluarga serta memudahkan urusan suami bekerja.

 

Hanya sebahagian daripada duit suami merupakan hak isteri, bukan kesemuanya

Istilah “duit suami adalah duit isteri” tidak bermaksud kesemua duit suami menjadi hak isteri. Jelas bahawa isteri mempunyai hak ke atas sebahagian duit suami dalam bentuk nafkah. Bagi tujuan membeli barang keperluan, isteri dibenarkan mengambil duit suami setakat yang diperlukan tanpa pengetahuannya jika tidak diberi nafkah.

BACA JUGA: Perlukah Suami Memberi Nafkah Kepada Isteri Yang Bekerja


Rujukan:

1. YouTube TV3MALAYSIA Official
2. YouTube Berita Harian Online
3. YouTube Ustaz Azhar Idrus Official
4. https://www.sinarharian.com.my/article/147393/berita/nasional/isteri-tidak-bekerja-ada-hak-ke-atas-harta-sepencarian

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 9 months ago