Benarkah Islam Melarang Membunuh Beberapa Jenis Haiwan Seperti Semut dan Lebah?

Benar
Benarkah Islam Melarang Membunuh Beberapa Jenis Haiwan Seperti Semut dan Lebah?

Islam melarang umatnya membunuh haiwan tanpa sebab, selain untuk dimakan atau jika ia mendatangkan bahaya

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 14/07/2023 - Disunting : 14/07/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Islam Melarang Membunuh Beberapa Jenis Haiwan Seperti Semut dan Lebah?

Hantaran sebelum ini berkenaan hukum memakan telur haiwan ada menyatakan bahawa terdapat beberapa jenis haiwan seperti semut dan lebah yang dilarang dibunuh berdasarkan hadis. Oleh itu, hantaran kali ini akan meneliti perkara ini dengan lebih mendalam.

 

Membunuh haiwan

Sebelum itu, lebih elok jika kita fahami hukum membunuh haiwan secara umumnya. Islam tidak membenarkan umatnya untuk membunuh haiwan secara sesuka hati dan tanpa sebarang sebab.

Berdasarkan satu hadis oleh Abdillah ibn Amr R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

“Tidaklah seseorang manusia membunuh seekor burung atau yang lebih daripada itu tanpa hak, kecuali Allah akan menyoalnya berkenaan burung itu.” Lalu Baginda ditanya, “Apakah haknya wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Hendaklah dia menyembelihnya lalu memakannya, dan jangan memotong kepalanya lalu dibuangnya.”

Riwayat al-Nasaie (4349) dan Ahmad (11/110)

Hadis ini menunjukkan bahawa jika haiwan dibunuh untuk dimakan, maka ia dibenarkan dengan syarat ia merupakan haiwan yang dihalalkan dan perlu disembelih terlebih dahulu.

 

Haiwan yang harus dibunuh menurut Islam

Namun begitu, selain daripada haiwan yang dibunuh untuk dimakan, terdapat juga beberapa jenis haiwan yang diizinkan dibunuh atas sebab lain.

Perkara ini adalah berdasarkan satu hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW bersabda:

“Lima haiwan fasiq dan boleh dibunuh di tanah haram iaitu: tikus, kala jengking, burung helang, burung gagak, dan anjing gila atau ganas.”

Riwayat al-Bukhari (3314) dan Muslim (1198)

Lima jenis haiwan tersebut dibolehkan untuk dibunuh kerana ia boleh mengancam nyawa manusia serta melakukan kerosokan. Haiwan fasiq bermakna haiwan perosak yang buas dan boleh membawa kemudaratan serta bahaya kepada manusia.

Di samping itu, walaupun hanya lima jenis haiwan itu yang disebut, keharusan membunuh haiwan bukanlah hanya tertakluk kepada mereka. Sebaliknya, lima jenis haiwan itu merupakan i’tibar (contoh) bagi haiwan yang fasiq. Rasulullah SAW turut menyebut ular dan cicak sebagai haiwan yang boleh dibunuh di dalam riwayat lain.

Menurut Imam Ibn Daqiq al-Id, perkara itu adalah berdasarkan isyarat nas yang mengizinkan kelompok haiwan tertentu dibunuh kerana sifatnya yang fasiq. Imam al-Nawawi berkata haiwan tersebut juga digelar fasiq kerana ia mengganggu dan membuat kerosakan di jalan yang biasa digunakan oleh haiwan tunggangan.

Laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan bahawa larangan tersebut turut boleh dikiaskan kepada haiwan lain yang membahayakan manusia seperti tebuan, lipan, labah-labah beracun dan buaya.

 

Haiwan yang dilarang dibunuh dalam Islam

Selain daripada haiwan yang diharuskan untuk dibunuh, terdapat juga haiwan yang disebutkan larangan membunuhnya menurut hadis. Berdasarkan Hadis Riwayat Abu Daud yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas RA., Rasulullah SAW bersabda:

نَهَى رسولُ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ علَيهِ وسلَّمَ عن قَتلِ أربعٍ منَ الدَّوابِّ، النَّملةِ، والنَّحلَ، والهُدهُدِ، والصُّرَدِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang membunuh empat jenis binatang yang melata: semut, lebah, hudhud (burung) dan salah satu jenis burung al-Shurd (yang berwarna separuh hitam dan separuh putih)”

Riwayat Abu Daud (4583)

Al-Khattabi menegaskan semut yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW adalah semut Sulaimaniyah, sejenis semut besar yang tidak berbahaya dan tidak menyerang manusia. Semut kecil yang berbahaya boleh dibunuh, tetapi hukum membunuh semut yang tidak berbahaya adalah makruh menurut mazhab Maliki. 

Bagi larangan membunuh lebah pula, para ulama berpendapat bahawa kerana ia bermanfaat kepada manusia melalui penghasilan madu yang banyak khasiatnya. Malah, lebah juga penting dalam proses pendebungaan yang membantu pohon-pohon membiak. Namun, terdapat juga pendapat yang menghalalkan lebah untuk dimakan.

Berdasarkan pendapat dalam mazhab Syafie, burung Hudhud diriwayatkan boleh dimakan. Namun begitu, fidyah atau denda dikenakan ke atas orang yang membunuh burung itu. Larangan membunuh burung ini dikatakan kerana hubungannya dengan Nabi Sulaiman AS

Burung hud-hud boleh ditemui di Afrika, Asia dan Eropah. Kredit gambar: Erit Karits/ Unsplash

Imam al-Syaukani berkata Rasulullah SAW melarang pembunuhan burung Al-Shurd disebabkan orang Arab pada masa itu mempunyai kepercayaan akan berlaku sesuatu yang buruk pada haiwan tersebut. Oleh itu, Rasulullah SAW menghalang pembunuhannya bagi menghilangkan kepercayaan yang tidak benar ini. Malah, terdapat pendapat dalam mazhab Syafie dan Maliki bahawa orang yang dalam keadaan ihram yang membunuh burung ini akan mendapat balasan.

Salah satu jenis burung Al-Shurd adalah burung great grey shrike. Kredit gambar: Joshua J Cotten/ Unsplash

Selain itu, terdapat juga hadis lain yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr RA melarang umat Islam membunuh katak dan kelawar. Rasulullah SAW bersabda: 

“Janganlah kalian membunuh katak kerana sesungguhnya suaranya adalah tasbih, dan janganlah kalian membunuh kelawar kerana sesungguhnya ketika Baitul Maqdis dihancurkan, ia berdoa: “Wahai Tuhanku, berilah aku kekuasaan terhadap lautan agar aku boleh menenggelamkan mereka.”

 Hadith riwayat al-Baihaqiy

Walaupun hadis ini mempunyai sanad yang sahit, namun Imam Ibn Hajar al-Asqolani  menyatakan bahawa ia diambil daripada kisah-kisah Israiliyat. 

Perihal larangan membunuh katak turut disebutkan dalam hadis oleh Abdurrahman bin Uthman:

أَنَّ طَبِيبًا ذَكَرَ ضِفْدَعًا فِي دَوَاءٍ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَنَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ قَتْلِهِ

Maksudnya: “Bahawa seorang perawat menyebut bahawa dia menggunakan katak dalam penyediaan ubatnya ketika dengan Rasulullah SAW. Lalu Baginda SAW menegahnya daripada membunuh katak”

Riwayat Abu Daud (5269)

 

Menurut Ustaz Muhaizad, labah-labah juga merupakan haiwan yang dilarang dibunuh. Salah satu sebab larangan adalah kerana labah-labah berjasa kepada Rasulullah SAW. Labah-labah telah membina sarang di pintu masuk Gua Tsur untuk membantu menyembunyikan Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar dari kaum Quraisy.

Kisah ini telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal, daripada Ibn Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda:

“Mereka (kaum Musyrikin) menjejaki kesan Nabi SAW. Apabila mereka tiba di sebuah bukit, mereka tercari-cari lalu mereka telah melalui sebuah gua dan terlihat sarang labah-labah di pintu gua. Mereka berkata: “Sekiranya dia (Nabi SAW) masuk ke gua melalui pintu ini, pasti tiada sarang labah-labah di pintu ini. Maka, mereka (kaum musyrikin) berada di gua tersebut selama 3 malam.” 

Hadis Riwayat Ahmad, no. 3251

 

Islam melarang umatnya membunuh beberapa jenis haiwan

Sememangnya terdapat beberapa jenis haiwan yang dilarang dibunuh berdasarkan hadis iaitu semut, lebah, burung hud-hud, burung Al-Shurd, serta katak. Walau bagaimanapun, jika haiwan-haiwan yang dilarang dibunuh ini mendatangkan mudarat kepada manusia, ia boleh dibunuh. 

Jika ada haiwan yang terpaksa dibunuh kerana mendatangkan mudarat, ia tidak boleh dilakukan menggunakan api dengan cara membakar. Hal ini adalah kerana api merupakan azab yang dilakukan oleh Allah SWT.

فَإِنَّهُ لاَ يُعَذِّبُ بِالنَّارِ إِلاَّ رَبُّ النَّارِ

Maksudnya: “Sesungguhnya tidaklah mengazab seseorang itu dengan api melainkan Tuhan api itu sendiri”‏

Riwayat Abu Daud (2673)


Rujukan:

1. https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3774-al-kafi-1412-haiwan-yang-harus-dibunuh-dalam-islam
2. https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/1517-irsyad-al-hadith-siri-ke-32-kisah-nabi-sulaiman-dan-semut-dan-larangan-membunuh-semut
3. https://dalamislam.com/akhlaq/larangan/larangan-membunuh-lebah-dalam-islam
4. https://siakapkeli.my/2020/06/30/orang-ramai-diminta-jangan-terus-bunuh-lebah-dikhuatiri-boleh-diancam-kepupusan/
5. https://dailyhijrah.com/haiwan-yang-dilarang-untuk-dibunuh-dalam-agama-islam/
6. https://myhadith.islam.gov.my/viewmanhals.php?id=23
7. https://www.muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1255-al-kafi-414-hukum-membedah-katak-bagi-tujuan-belajar
8. https://tzkrh.com/202037411/
9. https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3310-al-kafi-1216-hukum-membakar-sarang-kerengga

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 10 months ago