Sunat atau khatan bagi lelaki mahupun perempuan beragama Islam dihukumkan sebagai wajib mengikut mazhab Syafie berdasarkan firman Allah SWT dalam ayat 123, Surah An-Nahl:
ثُمَّ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ أَنِ اتَّبِعْ مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا ۖ وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ
Maksudnya: “Kemudian Kami wahyukan kepada kamu (Muhammad): Hendaklah kamu menurut agama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar; dan tiadalah dia dari orang-orang musyrik.”
Menurut laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW bersabda:
اخْتَتَنَ إِبْرَاهِيمُ بَعْدَ ثَمَانِينَ سَنَةً، وَاخْتَتَنَ بِالْقَدُومِ
Maksudnya: “Nabi Ibrahim AS berkhatan selepas berumur 80 tahun dengan menggunakan qadum (alat seperti beliung, kapak kecil).”
Riwayat al-Tirmidzi (2799)
Nabi Ibrahim AS juga dikatakan telah mengkhatankan anak-anaknya, Nabi Ismail AS pada umur 13 tahun, manakala Nabi Ishak AS ketika berusia lapan tahun.
Di samping itu, Rasulullah SAW juga bersabda:
الْفِطْرَةُ خَمْسٌ – أَوْ خَمْسٌ مِنَ الْفِطْرَةِ – الْخِتَانُ، وَالاِسْتِحْدَادُ، وَتَقْلِيمُ الأَظْفَار،ِ وَنَتْفُ الإِبْطِ، وَقَصُّ الشَّارِبِ
Maksudnya: “Fitrah (sunnah) itu ada lima perkara: berkhatan, mencukur bulu ari-ari, mencukur bulu ketiak, memotong kuku dan memendekkan misai.”
Riwayat al-Bukhari (6227)
Terdapat beberapa masalah selepas berkhatan yang dilaporkan
Di Malaysia, amalan berkhatan telah menjadi satu adat kemasyarakatan yang masih dipraktikkan sesetengah komuniti sehingga kini. Walaupun prosedur berkhatan secara selamat telah disediakan oleh pihak klinik dan hospital, namun sesetengah ibu bapa masih memilih untuk menghantar anak-anak kepada bidan tradisional bagi disunat. Terdapat juga acara seperti berkhatan beramai-ramai yang dijalankan di masjid atau kawasan kampung.
Namun ibu bapa mungkin tidak cakna bahawa amalan khatan yang dilakukan tanpa mengikut prosedur betul boleh menimbulkan komplikasi selepas bersunat. Seperti yang dilaporkan pada 27 Januari lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun telah mengalami pendarahan serius selepas menjalani prosedur berkhatan di sebuah masjid.
Dia yang juga merupakan seorang kurang upaya pembelajaran terpaksa menjalani pembedahan selepas berkali-kali jahitan pada alat sulitnya dibuka dan dijahit semula.
Pada tahun 2016, media melaporkan insiden seorang kanak-kanak lelaki yang terpotong kepala zakarnya ketika menjalani prosedur berkenaan menggunakan kaedah laser di sebuah klinik keluarga. Dia kemudiannya telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani rawatan penyambungan semula.
Di platform X pula, seorang wanita berkongsi bahawa seorang pakar bedah kosmetik di hospital kerajaan mendakwa kesemua insiden sunat kanak-kanak yang dirujuk pada hospitalnya adalah yang menjalani prosedur tersebut dengan kaedah laser di klinik. Dalam salah satu kes berkenaan, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun sehingga kehilangan zakarnya. Beberapa individu turut berkongsi kisah kesilapan ketika kanak-kanak lelaki disunat, malah sehingga terpaksa mengulang semula prosedur terbabit.
I ada client who is a cosmetic surgeon in a gov hospital, dia yg cerita kat i horror cases involving children and botched sunat cases. Semuanya yg pi sunat laser dekat klinik. Time tu i mmg plan nak sunatkan anak i tapi i went to see a well known paediatric surgeon. https://t.co/1IR1VF5I06
— Att Yusof (@attyusof) February 14, 2025
Kanak-kanak boleh alami komplikasi major selepas bersunat sehingga perlu dilakukan pembedahan semula
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2024 telah mengeluarkan satu kenyataan media berkenaan khatan yang selamat bagi kanak-kanak lelaki. Audit yang dijalankan oleh KKM mendapati peningkatan bilangan dalam kes rujukan ke hospital-hospital KKM bagi kanak-kanak yang mengalami komplikasi selepas berkhatan.
Komplikasi yang direkodkan merangkumi komplikasi minor seperti pendarahan dan jangkitan kuman. Namun terdapat juga komplikasi major akibat berkhatan yang terjadi termasuk kecederaan pada glans penis, keradangan melampau dan pemotongan kulit yang berlebihan, seterusnya memerlukan pembedahan semula (corrective atau repair surgery) dilakukan.
“Komplikasi-komplikasi ini, samada major mahupun minor sudah tentu akan mengakibatkan kegusaran dan kebimbangan di kalangan ibu bapa dan kanak-kanak. Di samping itu, ia akan turut membawa kepada gangguan mental dan menjejaskan perkembangan emosi kanak-kanak itu sendiri,” ujar Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Dalam pada itu, beliau menasihati ibu bapa agar melakukan prosedur berkhatan bagi anak-anak di fasiliti yang berdaftar dengan pihak KKM. Ibu bapa juga perlu memastikan agar program berkhatan yang disertai anak-anak dikendalikan oleh pengendali dan pengamal perubatan yang berdaftar dengan KKM serta terlatih dalam menjalankan prosedur berkhatan.
Disarankan kanak-kanak disunat selepas umur tujuh tahun jika di luar fasiliti kesihatan
KKM turut menyarankan agar ibu bapa memastikan bahawa anak mereka tidak kurang daripada tujuh tahun serta anatomi zakar berada dalam keadaan yang normal dan sesuai jika ingin menyertai program berkhatan yang dijalankan di luar fasiliti kesihatan. Menurutnya, kanak-kanak berumur tujuh tahun ke atas adalah lebih matang dan bersedia secara mental.
Bagi kanak-kanak yang tidak memenuhi kriteria di atas, KKM menegaskan agar nasihat didapatkan daripada doktor dan pakar perubatan di mana-mana fasiliti kesihatan terlebih dahulu.
Di samping itu, KKM turut menyenaraikan beberapa masalah kesihatan yang menyebabkan kanak-kanak tidak sesuai untuk dikhatan di luar hospital iaitu:
- Fizikal (anatomi) zakar yang tidak normal seperti Hypospadias, buried penis dan phimosis
- Masalah pendarahan seperti hemofilia dan Von Willebrand Disease
- Anak berkeperluan khas seperti Down’s Syndrome, Autism dan Cerebral Palsy
Prosedur berkhatan perlu dilakukan akibat sesetengah masalah kesihatan
Walaupun terdapat risiko dalam menjalani prosedur sunat, namun menerusi risalah oleh Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, terdapat juga keadaan kesihatan yang menyebabkan prosedur berkhatan perlu dilakukan. Antaranya adalah:
Phimosis
Pembukaan kulit pada hujung zakar terlalu sempit sehingga menghalang aliran kencing.
Paraphimosis
Kulit hujung zakar tersekat di belakang kelenjar yang bertindak seperti pencerut di bahagian proximal corona.
Kelainan pada kulit
Prosedur bersunat dilakukan untuk memudahkan proses memasukkan tiub ke dalam saluran kencing bagi membolehkan individu melakukan ‘clean self catheterization’. Keadaan ini seperti pundi kencing tidak dapat berfungsi dengan baik dan boleh terdedah kepada risiko jangkitan saluran kencing.
Kulit tersepit
Berkhatan juga perlu dilakukan apabila berlaku kes yang mengakibatkan kecederaan pada kulit di hujung zakar seperti kulit zakar tersepit pada zip.
Berkhatan mempunyai kelebihannya tersendiri
Di samping itu, terdapat juga beberapa kelebihan melakukan prosedur berkhatan dari segi kesihatan seperti:
Jangkitan saluran kencing (UTI)
Berkhatan dapat mengurangkan kemungkinan risiko 10 hingga 14 kali untuk mengalami UTI yang disebabkan oleh pengumpulan virus dalam lebihan kulit sebelum ia merebak ke sistem saluran kencing.
Kanser alat kelamin
Membuang lebihan kulit dalam proses berkhatan dapat mengurangkan risiko kanser sebanyak tiga hingga empat kali memandangkan kebanyakan kanser berlaku pada bahagian lebihan kulit ini.
Penyakit kelamin
Bersunat juga mengurangkan risiko jangkitan tiga jenis penyakit kelamin atau STD iaitu HIV, sifilis dan chancroid.
Balanitis Xerotica Obliterans (BXO)
Merupakan satu masalah berkaitan keradangan pada hujung zakar dan mengeras. Walaupun jarang berlaku dan boleh dirawat dengan antibiotik, namun masalah ini mempunyai kecenderungan untuk berulang. Bersunat dikatakan dapat mengelakkan masalah yang sama daripada berulang.
Terdapat Risiko Komplikasi Setelah Kanak-Kanak Disunat
Menerusi insiden yang dilaporkan, tidak dapat disangkal lagi bahawa kanak-kanak terdedah kepada risiko komplikasi sama ada minor mahupun major apabila menjalani prosedur berkhatan. Oleh itu, pihak KKM telah mengeluarkan saranan kepada ibu bapa untuk memastikan anak-anak menjalani prosedur tersebut dengan risiko komplikasi rendah.
Ibu bapa juga diingatkan agar membawa anak-anak untuk menjalani pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu sebelum membawa mereka menyertai program berkhatan di luar institusi kesihatan KKM. Malah, terdapat juga masalah kesihatan yang menyebabkan mereka tidak sesuai untuk berkhatan di luar hospital.
Baca Artikel Berkaitan: Adakah Terdapat Pendapat Berlainan Dalam Islam Mengenai Sunat atau Khitan Wanita?