Benarkah Musang Boleh Dimakan Menurut Mazhab Syafie?

Benar
Benarkah Musang Boleh Dimakan Menurut Mazhab Syafie?

Umat Islam dilarang memakan haiwan bertaring

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 10/02/2023 - Disunting : 10/02/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Musang Boleh Dimakan Menurut Mazhab Syafie?

Baru-baru ini telah tular sebuah ciapan Twitter berkenaan haiwan yang boleh dimakan dan haram dimakan mengikut empat mazhab Islam. Umum sedia maklum bahawa mazhab Syafie mengharamkan memakan haiwan pemangsa yang mempunyai taring seperti kucing, monyet dan serigala. Namun begitu, apa yang mengejutkan adalah jadual di bawah menunjukkan bahawa mazhab Syafie menghalalkan musang (merujuk kepada fox, bukan civet cat di dalam hantaran ini) untuk dimakan.

 

Musang haiwan pemangsa

Musang merupakan haiwan yang mempunyai taring tajam dan kuat, menjadikan ia sebahagian daripada keluarga canidae, iaitu haiwan karnivor berupa anjing. Walaupun ia berketurunan anjing, Islam sebenarnya tidak menganggap musang serupa dengan anjing. 

Dar Ifta Misriah menyatakan bahawa anjing merupakan sejenis haiwan yang menyalak. Haiwan yang tidak menyalak walaupun kelihatan seperti seekor anjing, seperti musang dan serigala, tidak dikategorikan sebagai anjing di dalam Islam. Perkara ini juga bermaksud musang bukanlah sejenis najis mughallazah (najis berat) seperti anjing.  

Di samping itu, musang sebenarnya adalah sejenis haiwan omnivor yang memakan pelbagai jenis makanan. Selain daripada memburu haiwan kecil seperti arnab dan burung, ia turut makan buah-buahan, tumbuh-tumbuhan dan fungi (cendawan). Musang juga memakan bangkai jika ia menemuinya.

 

Hukum makan musang

Terdapat pendapat yang berbeza berkenaan hukum memakan musang. Ulama mazhab Hanbali dan Hanafi mengharamkan musang untuk dimakan. Syeikh Wahbah al-Zuhaili, seorang cendiakawan Islam di Syria, menyebut:

وَأَبَاح الشَّافِعِيَّة وَالْحَنَابِلَة أَكْل الضَّب والضَّبُع. وَعِندَ الشَّافِعِيَّة: والثَعْلَب، وَحَرمه الحَنَابِلَة. وَحَرم الْحَنَفِية أَكْل ذَلِكَ كُلّه
Maksudnya: Ulama Syafi’iyah dan Hanabilah membolehkan makan Dhob (Biawak Padang Pasir) dan dubuk, dan dibolehkan menurut ulama Syafi’iyah makan musang, namun ulama Hanabilah mengharamkan makan musang. Manakala ulama Hanafiyah mengharamkan semuanya.

 

Fatwa oleh al-Ifta’ Jordan membolehkan umat Islam (mazhab Syafie) untuk makan daging musang:
“Tidak ada masalah dalam mazhab kami untuk memakan daging haiwan landak, musang dan dubuk. Hal ini kerana haiwan-haiwan tersebut termasuk di dalam haiwan toyyibat atau baik untuk dimakan, dan juga telah dianggap baik oleh orang Arab.”

Menurutnya, haiwan atau perkara yang dianggap baik oleh orang Arab kebiasaannya akan menjadikan hukumnya halal, manakala perkara yang jijik bagi orang Arab hukumnya haram. Hal ini adalah kerana al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab, oleh itu firman Allah ‘al-toyyibat’ ditafsirkan mengikut pengertian mereka.

 

Berdasarkan jawapan di dalam IslamQA, sebuah deposit soalan dan jawapan berkenaan Islam, hukum memakan musang adalah halal menurut mazhab Syafie. Kitab al- Majmu’ menyatakan bahawa musang adalah sejenis haiwan buruan yang boleh dimakan dan haram dibunuh oleh orang berihram. Musang juga dilihat sebagai haiwan yang tidak buas, mempunyai taring yang lemah dan tidak menggunakannya untuk menyerang manusia. Hal ini adalah sama seperti dubuk yang dihalalkan dagingnya oleh mazhab Syafie. 

 

Musang di Malaysia

Menurut Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, musang yang wujud dan dikenali di Malaysia adalah berbeza dengan musang di Arab. Musang yang terdapat di Malaysia dikenali sebagai musang jenis Qit al-Zabad (قط الزباد) atau musang kucing (civet cat), manakala di Arab ia adalah tha’lab (الثعلب), iaitu musang merah atau gelaran Melayu sebenarnya rubah. 

Kredit: Biologi PJJ USM: Underground Lab/ Facebook

Oleh kerana terdapat pelbagai spesies musang, mazhab Syafie mungkin menghalalkan musang yang memakan buah-buahan sebagai diet utamanya. Namun begitu, para ulama di Malaysia lebih cenderung kepada mengharamkan memakan daging musang sebagai pendapat yang lebih selamat dan keluar daripada khilaf. 

 

Mazhab Syafie menghalalkan daging musang (fox), tetapi ulama Malaysia cenderung untuk mengharamkannya

Jelas bahawa seperti dubuk, daging musang turut dihalalkan oleh mazhab Syamie. Walau bagaimanapun, para ulama Malaysia telah mengharamkannya atas dasar musang yang wujud di Arab dan Malaysia adalah daripada spesies yang berbeza. Jenis musang di Malaysia juga telah menyumbang kepada penularan coronavirus Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada tahun 2002-2003. Malah, musang merupakan antara hidupan liar terpelihara di Malaysia di bawah Akta 716 dan tidak patut diburu.


Rujukan:

1. https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2210-al-kafi-687-haiwan-haiwan-yang-haram-untuk-dimakan-di-dalam-islam
2. https://en.wikipedia.org/wiki/Fox
3. https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2639-al-kafi-830-hukum-menyentuh-rubah-atau-serigala
4. https://www.woodlandtrust.org.uk/blog/2019/08/what-foxes-eat/
5. https://a-z-animals.com/blog/are-foxes-carnivores-or-omnivores/
6. https://maktabahalbakri.com/349-memakan-daging-musang/
7. https://malaysiabersuara.com/artikel/semak-fakta/benarkah-dubuk-hyena-boleh-dimakan-menurut-mazhab-syafie/
8. https://majoriti.com.my/mukmin/2022/01/27/musang-halal-ke-untuk-dimakan
9. https://www.bharian.com.my/wanita/sihat/2020/03/665267/penyakit-lama-zoonosis-dalam-bentuk-covid-19

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago