Benarkah Umat Islam Tidak Boleh Kongsi Peti Sejuk Dan Microwave Yang Digunakan Bagi Makanan Tidak Halal?

Salah
Benarkah Umat Islam Tidak Boleh Kongsi Peti Sejuk Dan Microwave Yang Digunakan Bagi Makanan Tidak Halal?

Sesetengah umat Islam bekerja atau tinggal bersama-sama orang bukan Islam dan perlu berkongsi barangan dapur seperti peti sejuk dan microwave

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 28/08/2023 - Disunting : 28/08/2023

Keputusan:Salah

Petition to

Benarkah Umat Islam Tidak Boleh Kongsi Peti Sejuk Dan Microwave Yang Digunakan Bagi Makanan Tidak Halal?

Mengambil makanan yang halal dan bersih adalah kewajiban bagi umat Islam. Seorang Islam perlu memastikan supaya makanan yang diambil datang daripada sumber halal. Secara ringkasnya, makanan halal adalah makanan yang bersih dan terhindar daripada najis. Allah SWT telah berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”

Surah al-Baqarah: 168

Di samping itu, konsep halal juga dikaitkan dengan ‘tayyiban’ iaitu iaitu perkara yang baik atau elok. Oleh itu, makanan halalan tayyiban tidak merujuk kepada perkara yang buruk (yakni kotor dan jijik) seperti bangkai, darah, daging babi dan lain-lain. 

Sebelum ini kami pernah menghasilkan satu artikel tentang hukum memakan masakan orang bukan Islam. Umat Islam tidak dilarang memakan masakan individu bukan Islam dengan syarat makanan tersebut bersifat halalan tayyiban.

Pada masa yang sama, umat Islam juga boleh menggunakan perkakas kepunyaan bukan Islam dan sunat dibasuh dengan air jika tidak nampak ia digunakan untuk perkara haram. Jika ada, wajib dibasuh mengikut jenis najis tersebut seperti sertu jika melibatkan anjing dan khinzir.

BACA JUGA: Adakah Hukum Memakan Makanan Yang Dimasak Oleh Orang Bukan Islam Haram?

 

Najis berat yang diharamkan ke atas umat Islam

Dalam isu pemakanan, orang ramai sering merujuk kepada makanan berasaskan khinzir atau yang mengandungi alkohol sebagai makanan yang jelas diharamkan. Bagi khinzir, ia merupakan satu najis berat iaitu najis mughallazah. 

Di sebutkan di dalam al-Quran bahawa khinzir adalah najis secara zatnya pada semua bahagiannya termasuk daging, bulu dan kulit. Allah SWT telah berfirman:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya).”

Bagi mereka yang berkongsi rumah atau pejabat dengan rakan-rakan bukan beragama Islam, pasti timbul tanda tanya jika boleh berkongsi peti sejuk dan microwave bersama mereka. Hal ini kerana mungkin mereka ada membawa makanan tidak halal seperti khinzir.

 

Makanan halal berkongsi peti sejuk dengan makanan haram

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata berkongsi peti sejuk dengan makanan haram dibolehkan dengan syarat makanan diletakkan di dalam bekas tertutup. Ia bertujuan untuk mengelakkan makanan tersebut tercampur dengan makanan haram. Tambahan lagi, lebih elok jika makanan tersebut dilabel terutamanya jika ia merupakan daging supaya tidak tersalah ambil kelak.

Memandangkan makanan itu diletakkan di dalam bekas, tiada percampuran dengan najis berlaku dan ia tidak menjadikan makanan tersebut haram. Perkara ini juga selari dengan pendapat Dr Zulkifli bahawa memegang atau menyentuh tin makanan yang mengandungi bahan babi tidak perlu disertu memandangkan sentuhan itu tidak berlaku secara terus.

Malah, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga menetapkan bahawa seperti perkakas lain, peti sejuk yang digunakan atau baru dibeli daripada individu bukan Islam tidak wajib disertu sekiranya tiada tanda ia bernajis. 

Namun begitu, ia sunat dibasuh dengan air bersih sahaja dan tidak perlu dilakukan sedemikian jika ia boleh merosakkan peti sejuk tersebut. Ketetapan ini adalah berdasarkan kaedah fekah oleh Imam al San’ani di dalam Subul al-Salam bahawa sesuatu barang asalnya adalah suci.

Jika wujud syak wasangka jika sesuatu perkara itu bernajis, kaedah fekah menyatakan bahawa ia dihukum sebagai tidak bernajis jika tiada bukti kenajisan.

الْأَصْل بَقَاء مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ

Maksudnya: “Hukum asal sesuatu barang itu kekal sepertimana keadaan sebelumnya.”

Ulama Imam Ibnu Nujaim juga berkata di dalam karyanya:

شَكَّ فِي وُجُودِ النَّجَسِ فَالْأَصْلُ بَقَاءُ الطَّهَارَةِ

Maksudnya: “Seseorang syak pada menentukan adanya najis, maka hukum asalnya kekal suci.”

 

Minuman diletakkan bersebelahan arak

Di samping itu, berkongsi peti sejuk antara makanan halal dan haram bukan sahaja berlaku di rumah tetapi juga di kedai-kedai. Sebagai contoh, kedai serbaguna yang menjual minuman beralkohol atau arak yang ditempatkan di dalam peti sejuk yang sama dengan minuman halal.

Menurut pendakwah Dr Fitri Haris, minuman yang diletakkan bersebelahan arak tidak menjadi haram. Malah, membeli minuman yang terletak bersebelahan arak tidak menjadi satu daripada sepuluh kesalahan yang dikaitkan dengan arak.

Namun begitu, Dr Fitri berkata jika terdapat kebocoran pada arak dan tumpah di atas minuman kotak, mungkin timbul syubhah memandangkan air boleh terserap masuk ke dalamnya. Oleh itu, minuman tersebut menjadi haram dalam situasi wujud perasaan syubhah.

Berkongsi microwave dengan orang bukan Islam

Memandangkan microwave juga merupakan sejenis perkakas, ia mengikut hukum yang telah ditetapkan bagi perkakas iaitu suci selagi tiada kesan atau bukti najis. 

Menurut Imam Muda Asyraf, najis boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu najis aini dan najis maknawi. Najis aini merujuk kepada najis yang jelas nampak dan tidak boleh menggunakan microwave kerana risau tercampur. Walaupun begitu, jika ia bersifat maknawi dan tidak nampak secara jelas, maka agama memaafkan jika menggunakan microwave tersebut.

Ustaz Azhar Idrus berkata dalam isu najis berat, selagi tiada kesan yang jelas, ia tidak perlu disertu.

Umat Islam tidak dilarang berkongsi peti sejuk dan microwave dengan orang bukan Islam

Seperti mana perkakas makanan boleh dikongsi dengan orang bukan Islam, begitu juga peti sejuk dan microwave. Namun demikian, tindakan harus diambil supaya tiada percampuran berlaku antara makanan halal dan haram. Malah, harus dipastikan tiada sebarang najis yang jelas kelihatan. Jika hanya syak wasangka, maka ia dibenarkan kerana hukum asal sesuatu adalah suci. 

Pada masa yang sama, perkakas yang pernah digunakan oleh orang bukan Islam sunat dicuci terlebih dahulu menggunakan air biasa. Jika jelas terdapat najis, ia perlu disucikan mengikut kaedah menyucikan najis berdasarkan jenis najis tersebut. 


Rujukan:

1. https://malaysiabersuara.com/artikel/semak-fakta/adakah-hukum-memakan-makanan-yang-dimasak-oleh-orang-bukan-islam-haram/
2. https://maktabahalbakri.com/1888-menyimpan-daging-dalam-peti-sejuk-yang-berisi-daging-babi/
3. https://maktabahalbakri.com/1018-sentuh-tin-yang-mengandungi-bahan-berasaskan-babi/
4. https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/5283-irsyad-al-fatwa-siri-ke-691-adakah-perlu-sertu-atau-samak-peti-ais-yang-dibeli-daripada-orang-bukan-islam
5. Facebook Sinar Harian [https://www.facebook.com/watch/?ref=embed_video&v=2211977155777909]
6. Facebook SINAR [https://www.facebook.com/watch/?v=267839054964447]
7. Youtube Ustaz Azhar Idrus Official [https://www.youtube.com/watch?v=YHjjeq53BVE]

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 8 months ago