Apakah Itu Pelarian?

Apakah Itu Pelarian?

Terdapat sekitar 190, 370 pelarian dan pencari suaka di Malaysia setakat hujung Jun 2024

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 09/09/2024 - Disunting : 09/09/2024

Petition to

Apakah Itu Pelarian?

Soal pelarian atau pencari suaka di Malaysia merupakan suatu isu yang sensitif dalam negara, apatah lagi apabila masih terdapat ramai orang yang bersikap rasisme serta xenofobia.

Terdapat pelbagai dakwaan yang menyelubungi isu ini seperti pelarian sengaja dibawa masuk ke dalam negara, orang pelarian merampas hak ekonomi rakyat setempat, serta majoriti penjenayah ialah orang pelarian.

Dalam membincangkan hal ini, penting untuk memahami definisi sebenar pelarian, dan sama ada kedatangan mereka melanggar undang-undang negara mahupun antarabangsa.

 

UNHCR agensi utama dalam urusan pelarian

Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) juga dikenali sebagai Agensi Pelarian UN, merupakan badan utama dalam mengawal keselamatan pelarian. 

Berdasarkan Artikel 1 Konvensyen Pelarian 1951, pelarian merupakan seseorang yang “disebabkan oleh ketakutan berasas ditindas atas sebab kaum, agama, kerakyatan, atau keahlian kumpulan sosial atau pandangan politik tertentu, yang berada di luar negara kerakyatan dan tidak boleh, atau disebabkan oleh ketakutan itu, enggan mendapatkan perlindungan negara tersebut; atau sesiapa tanpa kerakyatan dan berada di luar negara bekas tempat tinggalnya, tidak boleh, atau disebabkan oleh ketakutan itu, enggan pulang kepadanya.”

Merujuk kepada data oleh UNHCR setakat 2023, sebanyak 117.3 juta orang telah dipindah secara paksa disebabkan oleh penindasan, konflik, keganasan, pelanggaran hak kemanusiaan atau peristiwa yang mengganggu ketenteraman awam. 

Kredit gambar: Julie Ricard/ Unsplash

Daripada jumlah ini, 37.6 juta telah berdaftar sebagai pelarian. 31.6 juta berada di bawah mandat UNHCR, manakala enam juta pelarian Palestin di bawah United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees in the Near East (UNRWA) yang ditempatkan di sekitar 60 kem seluruh Timur Tengah.

Selain pelarian, terdapat 68.3 juta yang dipaksa pindah dari tempat asal tetapi kekal di dalam negara – juga dikenali sebagai ‘internally displaced people’ (IDP), manakala 6.9 juta lagi merupakan pencari suaka dan 5.8 juta yang tidak dikategorikan memerlukan perlindungan antarabangsa.

Sebagai info tambahan, beberapa data telah dikumpulkan oleh UNHCR sejak ia ditubuhkan pada tahun 1951.

Sumber: Global Trends Report 2023 UNHCR

 

Pelarian tidak boleh dihantar pulang kepada bahaya

Pelarian dilindungi oleh undang-undang antarabangsa dan tidak boleh dikeluarkan atau dihantar pulang ke situasi di mana kehidupan dan kebebasan mereka dalam risiko. 

Pemberian kad UNHCR bertujuan untuk mengiktiraf status pelarian dan pencari suaka agar mendapat perlindungan antarabangsa yang merangkumi pelbagai aspek. Ini termasuk keselamatan daripada dipulangkan kepada bahaya, akses terhadap prosedur perlidungan yang adil dan efisien, serta langkah-langkah bagi memastikan hak asasi kemanusiaan mereka dihormati sementara mendapatkan penyelesaian jangka masa panjang. 

 

Majoriti pelarian & pencari suaka di Malaysia dari Myanmar

Data oleh UNHCR Malaysia menunjukkan terdapat sekitar 190, 370 pelarian dan pencari suaka dalam negara setakat hujung Jun 2024.

Majoriti mereka berasal dari Myanmar (167,360) termasuk 109,650 Rohingya, 26,710 Chins,  dan 31,000 kumpulan etnik lain dari kawasan yang terkesan dengan konflik atau melarikan diri dari penindasan.

Di samping itu, terdapat kira-kira 23,000 pelarian dan pencari suaka melarikan diri dari peperangan dan penindasan di 50 negara termasuk 6,130 rakyat Pakistan, 3,310 Yemen, 2,860 Syria, 2,850 Somali, 2,850 Afghanistan, 1,240 Sri Lanka, 650 Iraq, 630 Palestin dan lain-lain.

Daripada jumlah keseluruhan pelarian dan pencari suaka, sekitar 65% ialah lelaki, manakala 35% lagi wanita. UNHCR mencatatkan kira-kira 53,225 daripada mereka adalah kanak-kanak kurang 18 tahun.

Walau bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini berkata jumlah pelarian dalam negara tidak jelas kerana data yang berbeza telah didaftarkan oleh kerajaan dan UNHCR. 

Data pada Mac 2024 menunjukkan sekitar 189,000 pelarian didaftarkan di bawah UNHCR, tetapi Majlis Keselamatan Negara (MKN) hanya menguruskan kira-kira 40,000 pelarian dari 48 negara.

Pendudukan Rohingya di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur. (Kredit gambar: MalayMail)

 

Pelarian terdedah kepada eksploitasi

Setakat ini, masih tiada peruntukan perundangan atau pentadbiran bagi menangani situasi pelarian dan pencari suaka di Malaysia. Oleh itu, segala aktiviti berkaitan perlindungan pelarian termasuk penerimaan, pendaftaran, dokumentasi dan penentuan status dijalankan oleh UNHCR.

Ketiadaan rangka kerja rasmi bagi pelarian jua menyebabkan mereka terdedah kepada eksploitasi. Mereka juga, seperti pendatang asing tanpa izin, tidak diizinkan bekerja menurut undang-undang.

Malaysia juga tidak menandatangani Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967 PBB, sekaligus mengecualikan kerajaan daripada bertanggungjawab dalam membantu pelarian dan pencari suaka di dalam negara.

Pelarian dengan kad UNHCR dibenarkan untuk tinggal buat sementara waktu dalam negara sebelum dipindahkan ke negara ketiga. Memandangkan Malaysia tidak mengiktiraf status pelarian dan pencari suaka, mereka secara umumnya tidak dibenarkan untuk bekerja atau menerima pendidikan formal.

Sebuah sekolah tidak rasmi bagi pelarian di Kuala Lumpur. (Kredit gambar: UNHCR)

Walaupun begitu, Saifuddin pernah memaklumkan bahawa kerajaan akan menjalankan kajian secara menyeluruh untuk membolehkan pelarian bekerja dalam sektor tertentu di Malaysia.

Katanya, antara data yang dikumpul menerusi kerjasama dengan pihak UNHCR ialah tempat tinggal pelarian bagi menentukan jumlah sebenar mereka sebelum dibenarkan bekerja.

 

Isu migran dan PATI berbeza dengan pelarian

Selain daripada pelarian, timbul juga isu berkaitan dengan migran dan pendatang asing tanpa izin (PATI) di dalam negara.

Definisi pelarian tidak sepatutnya dikelirukan dengan migran serta PATI. Kebanyakan pakar bersetuju bahawa migran antarabangsa merujuk kepada seseorang yang menukar negara tempat tinggal tidak kira sebab atau status undang-undang. Diingatkan semula bahawa seorang pelarian terpaksa keluar dari negara asalnya disebabkan risiko ditindas.

PATI pula merujuk kepada individu yang tidak mendapat kebenaran untuk masuk atau kekal di dalam negara menurut undang-undang.

Berdasarkan Seksyen 55E(7) Akta Imigresen 1959/63, PATI merujuk kepada sesiapa yang bukan warganegara, yang menyalahi Seksyen 5, 6, 8, 9 dan 15 akta sama atau Peraturan 39, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 seperti di bawah.

Sumber: Jabatan Imigresen Malaysia

UNHCR menerangkan bahawa pelarian berbeza dengan PATI yang merangkumi orang yang diperdagangkan, mendapat janji palsu untuk bekerja serta pelajar yang telah tamat visa. Ini adalah kerana PATI tetap mendapat perlindungan dari kerajaan negara asal dan tidak diancam bahaya jika diusir pulang.

 

Baca Artikel Berkaitan: Adakah Kerajaan Malaysia Mengiktiraf Status Komuniti Pelarian dan Pencari Suaka?

Baca Artikel Berkaitan: Adakah Warga Asing Di Malaysia Banyak Melakukan Jenayah Berbanding Warganegara Malaysia?


Rujukan:

1. https://www.unhcr.org/about-unhcr/overview/1951-refugee-convention
2. https://www.unhcr.org/global-trends-report-2023
3. https://www.unhcr.org/my/about-unhcr/who-we-protect/refugees
4. https://www.unhcr.org/my/what-we-do/figures-glance-malaysia
5. https://www.nst.com.my/news/nation/2024/03/1026953/govt-conduct-study-refugee-employment
6. https://www.unhcr.org/my/protection-malaysia
7. https://www.aljazeera.com/news/2024/2/7/in-legal-no-mans-land-refugees-in-malaysia-struggle-to-eat-pay-rent
8. https://www.nst.com.my/news/nation/2024/03/1026953/govt-conduct-study-refugee-employment
9. https://www.imi.gov.my/index.php/penguatkuasaan/
10. https://www.unhcr.org/my/semak-fakta-pelarian

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 week ago