Apakah Itu Perkauman?

Apakah Itu Perkauman?

Laporan Perkauman Malaysia mencatatkan jumlah tertinggi insiden rasisme, diskriminasi kaum dan xenofobia berlaku pada tahun 2022

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 30/08/2024 - Disunting : 30/08/2024

Petition to

Apakah Itu Perkauman?

Kecoh apabila seorang artis tempatan tanah air menggunakan terma yang bersifat penghinaan kaum dalam ciapannya di X. Individu tersebut menegaskan bahawa dia tidak berniat untuk bersikap rasisme, tetapi hanya menggunakan terma berkenaan sebagai perumpamaan atau kiasan (figure of speech). 

Namun, perkara ini tetap tidak menjadikan terma menghina berkaitan suatu kaum boleh digunakan tanpa menyebabkan ketegangan.

Jadi, apakah itu rasisme? Adakah ia sekadar perbuatan menghina suatu kaum atas sebarang alasan?

 

Pusat Komas kumpulkan insiden perkauman di Malaysia

Sebelum itu, penting untuk memahami insiden rasisme yang berlaku di Malaysia. Walaupun Malaysia merupakan sebuah negara pelbagai kaum, masih banyak kejadian rasisme yang berlaku.

Berdasarkan Laporan Perkauman Malaysia 2023 yang disediakan oleh badan bukan kerajaan (NGO) Pusat Komas, sebanyak 50 insiden perkauman yang dicatatkan bagi tahun 2023. Angka ini bagaimanapun dipercayai tidak menunjukkan jumlah sebenar memandangkan mungkin masih banyak insiden tidak dilaporkan.

Kejadian rasisme ini telah dikumpulkan dari media arus perdana (mainstream media), sumber sekunder dan laporan yang dibuat kepada Pusat Komas. Menurutnya, sebanyak 230 insiden telah dikenal pasti dan diteliti mengikut standard antarabangsa rasisme, diskriminasi kaum dan xenofobia serta komitmen Malaysia di peringkat global.

Insiden perkauman dilaporkan telah berkurangan sekitar 39% kepada 50 pada tahun 2023 berbanding 82 insiden pada 2022. Malah bagi tahun 2022, insiden perkauman dilaporkan tertinggi dalam tempoh sembilan tahun (2015-2023). Menurut Pusat Komas, angka tinggi ini boleh dikaitkan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika mana ahli politik, parti politik dan ahli-ahli menggunakan kaum dan agama sebagai alat politik untuk mendapatkan sokongan.

Jumlah insiden perkauman, diskriminasi kaum dan xenofobia bagi tahun 2015-2023 di Malaysia (Sumber: Pusat Komas)

Bagi tahun lepas, politik perkauman/ agama menjadi kes tertinggi yang dilaporkan (31.4%). Ini diikuti dengan provokasi (17.6%), diskriminasi dalam sektor pendidikan (9.8%), diskriminasi dalam sukan (7.8%), polisi diskriminasi berdasarkan kaum/agama (7.8%), diskriminasi dalam lain-lain sektor (13.7%) dan xenofobia (11.8%). Graf di bawah menunjukkan bahawa majoriti insiden perkauman/ agama yang dilaporkan dari tahun 2015 hingga 2023 dikaitkan dengan politik.

Tren insiden perkauman, diskriminasi kaum dan xenofobia mengikut kategori bagi tahun 2015-2023. Bagi kategori ‘lain-lain’ termasuk Sukan, Pekerjaan dan Pasaran Sewa. (Sumber: Pusat Komas)

 

Rasisme adalah layanan berat sebelah berdasarkan kaum

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), rasialisme adalah “layanan berat sebelah atau sikap bermusuhan terhadap seseorang berasaskan keturunan bangsanya” atau “fahaman yg menekankan bahawa suku kaum sendiri sahaja yg paling unggul”. Rasisme juga menggunakan takrif bagi rasialisme di dalam Kamus Dewan.

Brighton & Hove City Council di United Kingdom menerangkan rasisme sebagai insiden yang mana seorang individu dilayan lebih teruk, dikecualikan, diletakkan dalam situasi kekurangan, diganggu, dibuli, dimalukan atau direndahkan taraf hanya kerana kaum atau etniknya.

Selain daripada di peringat individu, rasisme juga boleh terjadi di peringkat institusi atau organisasi. Juga digelar sebagai ‘institutional racism’, ia merupakan kegagalan kolektif dalam menyediakan keadaan yang inklusif dan profesional disebabkan oleh perbezaan kaum atau etnik. 

Seperti dipersoalkan pada awal artikel, sikap rasisme bukan hanya tertakluk pada tindakan menghina atau menyakiti golongan berlainan kaum. Antara contoh lain sikap rasis terhadap seseorang adalah:

  • Tidak menangani dakwaan perkauman dengan sewajarnya atau menganggap pengadu sebagai ‘pembuat masalah’
  • Menyekat kemajuan atau peluang pembelajaran dalam pekerjaan dan pendidikan
  • Mengelak, mengasingkan atau tidak menjemput ke acara sosial atau rangkaian
  • Memberikan pengamatan dan pemeriksaan yang lebih 
  • Menggunakan bahasa negatif atau membuat lawak tentang suatu kaum/etnik
  • Tidak memberi sokongan sewajarnya atau bertindak atas keperluan budaya/agama
  • Bersikap stereotaip iaitu membuat anggapan bahawa setiap individu dari kaum/agama sama adalah serupa

 

Rasisme seringkali dikaitkan dengan diskriminasi

Australian Human Rights Commission mendefinisikan rasisme sebagai proses di mana sistem dan polisi, tindakan serta sikap mewujudkan peluang dan hasil yang tidak adil berdasarkan bangsa. 

Rasisme seringkali disertai dengan kuasa untuk mendiskriminasi, menindas atau membataskan hak kaum lain. Sebagai contoh di tempat kerja, rasisme boleh memutuskan siapa yang mendapat kerja, dinaikkan pangkat, dan dipecat. 

Oleh yang demikian, sebarang undang-undang, polisi, ideologi dan halangan yang membataskan seseorang mendapatkan keadilan, kehormatan dan kesaksamaan disebabkan oleh identiti kaumnya juga merupakan rasisme.

Selain daripada rasisme yang dihadapi oleh seseorang daripada individu lain atau institusi, wujud juga masalah ‘internalized racism’. Ini adalah keadaan di mana seseorang percaya dirinya berada pada status yang rendah serta mempunyai kekurangan dan kelemahan dalam sebuah kumpulan yang ditindas.

 

Adakah golongan minoriti boleh bersikap rasis?

Bercakap tentang rasisme, wujud persoalan jika rasisme hanya boleh dilakukan oleh kaum majoriti atau dominan di suatu tempat.

Pemikiran ini adalah sama seperti di Amerika Syarikat apabila timbul kenyataan/ kepercayaan bahawa hanya orang berkulit putih (White people) boleh bersikap rasis. Sebaliknya, bangsa lain tidak bersikap rasis walaupun mengeluarkan kata-kata penghinaan terhadap orang putih.

Perkara ini wujud atas dasar golongan minoriti tidak berada di posisi untuk menindas kumpulan lain. 

Namun, tidak dapat disangkal bahawa golongan minoriti berhadapan dengan rasisme sistemik menerusi undang-undang, polisi dan sebagainya yang menindas.

Kredit gambar: Clay Banks/ Unsplash

 

Boleh ke bersikap rasis tanpa sedar?

Seperti dalam kes membabitkan artis tempatan pada awal artikel, individu terbabit menerangkan bahawa dia tidak bermaksud untuk bersikap rasis apabila menggunakan terma berkenaan. 

Namun menurut Brighton & Hove City Council, rasisme tidak semestinya sesuatu yang disengajakan. Sebaliknya, seseorang masih boleh melakukan diskriminasi walaupun tidak sedar atau tidak bermaksudkannya. 

Inilah yang masih banyak terjadi dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Sesetengah individu bertegas berkata mereka tidak bermaksud untuk bersifat perkauman dengan menggunakan terma-terma rasis. Hakiktnya, insiden perkauman ditakrifkan berdasarkan persepsi mangsa atau mana-mana individu lain, tidak kira motif pelaku.

 

Baca Artikel Berkaitan: Ini Penjelasan Sebenar Tentang ‘Bumiputera’ & Hak Keistimewaan Menurut Perlembagaan

Baca Artikel Berkaitan: Adakah Masyarakat Cina dan India Telah Menetap Di Tanah Melayu Sebelum Kedatangan British?


Rujukan:

1. https://komas.org/malaysia-racial-discrimination-report/
2. https://komas.org/malaysia-racial-discrimination-report/
3. https://www.brighton-hove.gov.uk/council-and-democracy/equality/becoming-anti-racist-city/racism-definition
4. https://humanrights.gov.au/our-work/race-discrimination/what-racism
5. https://www.nas.org/blogs/article/where_did_we_get_the_idea_that_only_white_people_can_be_racist

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 4 months ago