Kaedah-Kaedah Perancangan Keluarga Yang Diharuskan & Dilarang Islam

Kaedah-Kaedah Perancangan Keluarga Yang Diharuskan & Dilarang Islam

Terdapat pelbagai kaedah perancangan keluarga yang boleh dilakukan, namun sesetengahnya dilarang mengikut syarak.

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 13/01/2025 - Disunting : 13/01/2025

Petition to

Kaedah-Kaedah Perancangan Keluarga Yang Diharuskan & Dilarang Islam

Sesetengah pasangan mempraktikkan perancangan keluarga bagi menjarakkan atau mengelak kehamilan. Terdapat pelbagai kaedah perancangan keluarga yang boleh dilakukan, namun ia biasanya dipraktikkan oleh kaum wanita menerusi pengambilan pil, suntikan hormon, IUCD dan sebagainya.

Pada Januari 2025, kecoh tentang penggunaan kaedah perancangan keluarga lelaki iaitu vasektomi apabila bekas Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkongsi penulisan yang berpendapat bahawa ia haram.

Sebaliknya, beliau mencadangkan beberapa kaedah lain yang diharuskan Islam dalam merancang keluarga. Penulisan kali ini akan menjelaskan lebih lanjut mengenai perancangan keluarga yang dibenarkan dan tidak mengikut syarak.

Baca Artikel Berkaitan: Ramai Keliru Tentang Hukum Ejakulasi Luar Rahim, Ini Penjelasan Dr Zulkifli

 

Hukum perancangan keluarga dalam Islam

Walaupun terdapat pendapat berbeza dalam kalangan ulama, namun secara umumnya perancang keluarga dibenarkan dalam Islam mengikut syarak. Malah, perancangan anak turut dijalankan dalam bentul ‘azal (mengeluarkan air mani di luar rahim) pada zaman Rasulullah SAW berdasarkan satu dalil daripada Jabir RA.

كُنَّا نَعْزِلُ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالقُرْآنُ يَنْزِلُ

Maksudnya: “Kami dahulu melakukan `azal pada zaman Rasulullah SAW sedangkan al-Quran sedang turun.”

Riwayat Imam al-Bukhari (5209)

Di samping itu, Majlis Agama Islam Singapura (MUIS) turut memetik ayat 233 Surah al-Baqarah dalam isu perancangan keluarga.

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلاَدَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَنْ يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ

Maksudnya: “lbu-ibu itu menyusu anak-anaknya dua tahun genap bagi orang-orang yang menghendaki menyempurnakan susuan.” 

Menurutnya, ayat al-Quran ini menjelaskan bahawa susuan yang disempurnakan sehingga dua tahun dapat memberi kesihatan yang baik kepada anak. Tambah kenyataan itu, terdapat ulama fekah yang berpendapat tidak digalakkan untuk bersatu dengan isteri yang masih menyusukan anak hingga hamil kerana risau ia akan memberi mudarat kepada kesihatan anak yang sedang disusukan.

Di Malaysia, hukum mengenai perancang keluarga telah diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-12 pada 20 Januari 1977 seperti berikut:

  1. Memandul lelaki dan perempuan hukumnya adalah haram.
  2. Mencegah beranak atau menghadkan bilangan anak hukumnya adalah haram melainkan dengan sebab yang diharuskan oleh syarak bagi orang perseorangan.
  3. Menyusun keluarga dari kesihatan, pelajaran dan kebahagiaan keluarga dengan cara yang selain daripada (1) dan (2) di atas adalah harus.

Namun begitu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan bahawa jika pasangan tetap dikurniakan zuriat walaupun melakukan kaedah pencegahan kehamilan, mereka wajib meyakini bahawa rezeki setiap anak telah ditetapkan oleh Allah SWT seperti firmanNya:

وَلاَ تَقْتُلُواْ أَوْلاَدَكُم مِّنْ إمْلاَقٍ نَّحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka.”

Surah al-An’am (151)

 

Kaedah perancangan keluarga tidak kekal diharuskan

Perancangan keluarga menurut Islam dibahagikan kepada dua iaitu tanzim al-nasal (perancangan anak) dan tahdid al-nasal (membataskan anak). Tanzim al-nasal adalah usaha dalam menjarakkan anak menerusi kaedah perancangan keluarga yang tidak kekal. Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, tanzim al-nasal diharuskan dengan syarat-syarat berikut:

  • Iktikad bahawa jika Allah ingin mengurniakan anak juga, tiada siapa yang boleh menghalang dan wajiblah pasangan memelihara kandungan dan menjaga maslahatnya.
  • Tidak mendatangkan kemudaratan kepada pasangan khususnya isteri.
  • Dilakukan dengan kebenaran dan persetujuan kedua-dua suami isteri.

Antara kaedah perancangan anak yang disenaraikan adalah:

  1. Ubatan pil perancang
  2. Melakukan persetubuhan pada waktu tidak subur
  3. Memakai kondom
  4. Melakukan azal (ejakulasi luar rahim)
  5. Mengeluarkan air mani daripada kemaluan wanita selepas selesai persetubuhan
  6. Memasang peranti intrauterine (IUD) bagi tujuan pemandulan sementara

 

Kaedah perancangan keluarga bersifat kekal diharamkan dalam Islam

Sebaliknya, tahdid al-nasal pula merujuk kepada pembatasan anak dan melibatkan kaedah yang kekal seperti pemandulan kekal dan pengguguran. Berbeza dengan tanzim al-nasal, tahdid al-nasal dianggap haram kerana melibatkan pengubahan ciptaan Allah SWT, merosakkan asas kehidupan dan melakukan pembunuhan.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada tahun 1981 dalam pada itu mengharamkan pemandulan lelaki atau wanita kerana ia dianggap sebagai kaedah perancangan kekal dan mengganggu kemampuan reproduktif.

Di samping itu, Persidangan Majma’ al-Fiqh al-Islami di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Kuwait pada 15 Disember 1988 telah memutuskan bahawa kemampuan reproduksi bagi lelaki mahupun wanita haram dihilangkan kemampuannya atau dimandulkan. Namun pengharaman ini dikecualikan dalam situasi darurat. 

 

Vasektomi

Secara perubatan, vasektomi merupakan salah satu kaedah perancangan keluarga yang boleh dilakukan oleh lelaki. Bekas Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bagaimanapun berpendapat vasektomi adalah haram dilakukan oleh orang Islam kerana dianggap sebagai kaedah kawalan kelahiran atau pemandulan yang kekal. Katanya, ini kerana keberhasilan untuk pembalikan semula (reversal) adalah sangat rendah, tidak mudah dan tidak selalunya berjaya. 

Merujuk kepada Mayo Clinic, sememangnya wujud risiko pembalikkan vasektomi tidak berjaya seperti berlakunya halangan walaupun setelah prosedur dijalankan. Bergantung kepada jenis prosedur, peratus kehamilan setelah pembalikan semula vasektomi adalah antara 30% dan 90%.

 

Tubal ligation

Ini juga sama bagi kaedah mengikat peranakan atau tubal ligation yang turut diharamkan.

Walaupun terdapat kaedah untuk mengembalikan peranakan kepada asal, namun hanya 50% hingga 80% wanita yang berjaya mengandung selepas ia dilakukan. Perkara ini bermakna wujudnya kebarangkalian pencegahan kehamilan tersebut menjadi kekal.

Dalam masa sama, ikat peranakan dibenarkan jika terdapat kemudaratan bagi wanita tersebut. Doktor perubatan Dr Zubaidi Ahmad sebelum ini berkata seorang Muslimah perlu mendapatkan pandangan seorang doktor beragama Islam yang berpengalaman terlebih dahulu sebelum melakukan pencegahan kehamilan secara kekal. Namun berdasarkan Islamic Edicts on Family Planning, kaedah BTL tidak dibenarkan atas alasan ekonomi atau sosial.

Baca Artikel Berkaitan: Benarkah Wanita Islam Diharamkan Mengikat Peranakan Tanpa Sebab Kesihatan?

 

Tampalan kontraseptif

Selain daripada kaedah perancangan kehamilan kekal, terdapat satu lagi kaedah yang mungkin menimbulkan persoalan dalam kalangan umat Islam iaitu tampalan kontraseptif pencegah kehamilan (contraceptive patch). 

Seperti kebanyakan kaedah lain, tampalan ini mencegah kehamilan dengan menggunakan hormon progestin dan estrogen yang berfungsi untuk mencegah ovulasi. Tampalan ini bukanlah digunakan sekali sahaja, tetapi dalam tempoh yang panjang dan perlu ditukar setiap bulan. 

Bagi seorang wanita Islam, wujud keperluan untuk mandi wajib apabila bersuci daripada hadas besar. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berpendapat memandangkan tampalan itu menghalang air daripada diratakan ke kulit dan akan menyebabkan mandi wajib tidak sah. Oleh itu, para muslimah dinasihati agar menggunakan kaedah perancangan yang lain.

 

Jadi boleh disimpulkan bahawa kaedah perancangan keluarga seperti berikut tanpa sebarang mudarat adalah dilarang dalam Islam:

  1. Vasektomi dalam lelaki
  2. Ikat peranakan (tubal ligation)
  3. Penggunaan tampalan kontraseptif (perlu dicabut jika mandi wajib)

Namun diingatkan walaupun menggunakan kaedah-kaedah tersebut, ia tidaklah berkesan 100% dan pasangan masih mempunyai kebarangkalian untuk mendapat zuriat. Bagi vasektomi, kebarangkalian kehamilan adalah sangat kecil iaitu 1 bagi 1,000 kes (keberkesanan 99.9%). Ikat peranakan mempunyai kebarangkalian kehamilan yang lebih besar iaitu 1 bagi setiap 200 (keberkesanan lebih 99%) prosedur dan 1 bagi setiap 100 (keberkesanan 99%) penggunaan tampalan kontraseptif.

 

Perancangan keluarga kekal dibolehkan dalam situasi mudarat

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, kaedah tersebut dibolehkan dalam kes ia melibatkan masalah kesihatan dan mengancam nyawa seorang wanita jika mengandung dan bersalin. Dalam kes sedemikian, kandungan boleh digugurkan sebelum umur 120 hari (4 bulan) daripada tarikh persenyawaan.

Ulama Mesir Syeikh Atiyyah sebelum ini turut mengeluarkan fatwa bahawa pemandulan dibolehkan atas alasan kesihatan atau selainnya bagi tempoh tertentu, tetapi ia kemampuan reproduksi harus dikekalkan dan boleh digunakan kembali. Oleh itu ini bermakna pemandulan tidak boleh dilakukan jika sifatnya sempurna dan kekal melainkan jika wujud kemudaratan.

 

Terdapat dakwaan para fuqaha membenarkan pemandulan

Pada masa sama, Sisters In Islam (SIS) sebelum ini mendakwa bahawa terdapat sebilangan kecil para fuqaha yang membenarkan pemandulan. Ini adalah atas alasan bahawa tiada pengharaman ke atas pemandulan yang dinyatakan di dalam Quran mahupun sunah. Malah, mereka mendakwa juga dibolehkan kerana merupakan kaedah yang berpanjangan dan digunakan selepas mendapat jumlah anak yang diingini, serta bagi melindungi wanita yang mencecah umur tertentu daripada penggunaan dan kos kontraseptif berpanjangan.

Bagi menguatkan dakwaan itu, SIS mendakwa ulama Mesir Sheikh Ahmad Ibrahim berpendapat tiada larangan agama terhadap pemandulan kerana ia merupakan salah satu rawatan bagi mencegah kehamilan dengan cara yang diterima umum. Beliau menjelaskan bahawa kaedah tersebut bukanlah jenayah terhadap kehidupan yang wujud atau kanak-kanak yang hidup.

Baca Artikel Berkaitan: Benarkah Pengguguran Bayi Dalam Kandungan Dibenarkan Di Malaysia?


Rujukan:

1. https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum-cat/5306-irsyad-al-fatwa-siri-ke-696-adakah-sah-mandi-wajib-jika-menggunakan-tampalan-patch-kontraseptif-pencegah-kehamilan
2. https://www.muis.gov.sg/officeofthemufti/Fatwa/Malay-Perancangan-Keluarga
3. https://maktabahalbakri.com/33519-2/
4. https://maktabahalbakri.com/6547-prosedur-vasektomi-vasectomy/
5. https://www.mayoclinic.org/tests-procedures/vasectomy-reversal/about/pac-20384537
6. https://al-islam.org/islamic-edicts-family-planning/birth-control
7. https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum-cat/5306-irsyad-al-fatwa-siri-ke-696-adakah-sah-mandi-wajib-jika-menggunakan-tampalan-patch-kontraseptif-pencegah-kehamilan
8. https://sistersinislam.org/wp-content/uploads/2022/03/Islam-Perancangan-Keluarga-Malay.pdf

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 month ago