Permohonan Pasport & Senarai Dokumen Yang Diperlukan

Permohonan Pasport & Senarai Dokumen Yang Diperlukan

Rakyat Malaysia yang ingin ke luar negara perlu membuat permohonan pasport terlebih dahulu

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 02/10/2023 - Disunting : 02/10/2023

Petition to

Permohonan Pasport & Senarai Dokumen Yang Diperlukan

Apabila hendak ke luar negara, pasport merupakan satu dokumen yang penting. Tanpa pasport, warganegara tidak dibenarkan untuk keluar negara kecuali bagi kes-kes khas yang hanya memerlukan Pas Lintas Sempadan.

Kerajaan mengeluarkan pasport sebagai Dokumen Perjalanan yang sah bagi warganegara. Dengan pasport, individu boleh melakukan perjalanan ke negara-negara luar. Namun begitu, pasport Malaysia melarang pemegangnya untuk ke negara tertentu seperti Israel, kecuali jika mendapat kelulusan khas.

Untuk pengetahuan, walaupun pasport berada di tangan pemegang, namun ia sebenarnya adalah hak milik kerajaan Malaysia. Perkara ini bermakna ia boleh ditarik balik oleh pihak berkuasa pada bila-bila masa seperti apabila seseorang berhadapan pertuduhan jenayah atau sedang menjalani perbicaraan mahkamah.

 

Harga permohonan pasport

Permohonan pasport boleh dilakukan di mana-mana Pejabat Imigresen dalam negara. Namun begitu, pembaharuan pasport boleh dilakukan secara dalam talian bagi individu berumur 13 tahun ke atas. Bagi mereka yang berada di luar negara pula, permohonan atau pembaharuan pasport boleh dilakukan di Pejabat Perwakilan Malaysia.

Harga bagi setiap permohonan pasport adalah seperti berikut:

  • Permohonan biasa (13 tahun hingga 59 tahun) – RM200.00 
  • Warga emas (60 tahun ke atas) – RM100.00 
  • Kanak-kanak (12 tahun dan ke bawah) – RM100.00 

Bagi pelajar berusia 21 tahun dan ke bawah yang sedang mengikuti program ijazah di luar negara, mereka hanya dikenakan bayaran RM100. Jemaah Haji juga dapat menikmati diskaun ini jika mempunyai surat pengesahan dari Tabung Haji atau agensi yang dilantik. 

Di samping itu, tiada bayaran dikenakan bagi individu yang tergolong dalam kategori Orang Kurang Upaya (OKU) yang berdaftar di bawah Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685) dan mempunyai kad OKU.

Tidak seperti sebelum ini ketika mana pemohon boleh memilih dua atau lima tahun tempoh sah laku pasport, kini hanya tempoh sah laku lima tahun dari tarikh dikeluarkan diberikan. Walau bagaimanapun, harus diingat bahawa pasport hanya sah sehingga enam bulan sebelum tarikh luput. Jika kurang enam bulan daripada tarikh luput, pemegang pasport tidak akan dilepaskan ke luar negara.

 

Senarai dokumen permohonan pasport

Secara umumnya, MyKad diperlukan bagi permohonan pasport kali pertama dalam setiap keadaan. Jika tiada MyKad, individu perlu membawa Kad Pengenalan Sementara dan sijil lahir

Bagi individu yang lahir di luar negara, mereka perlu membawa bersama Borang W/ Sijil Lahir/ Sijil Perakuan Taraf/ Pengesahan Taraf Warganegara (PTW) serta dokumen perjalanan/ pasport yang digunakan semasa pulang ke Malaysia.

Rakyat Sabah dan Sarawak yang memohon kali pertama di Pejabat Imigresen Semenanjung Malaysia perlu membawa MyKad yang bertanda ‘H’ bagi Sabah dan ‘K’ bagi Sarawak dan sijil lahir. Jika MyKad tidak mempunyai tanda ‘H’ atau ‘K’, ia perlu diselaraskan terlebih dahulu di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Sebagai tambahan, permohonan ini akan dirujuk ke Pejabat Imigresen Sabah atau Sarawak terlebih dahulu.

Bagi pegawai dan anggota tentera, mereka perlu menyediakan Kad Pengenalan Tentera/ MyTentera, manakala pegawai dan anggota polis perlu membawa bersama Kad Pengenalan Polis dan sijil lahir.

Individu berumur kurang 18 tahun pula perlu membawa MyKid jika masih belum ada MyKad, sijil lahir dan MyKad ibu atau bapa. Mereka juga perlu ditemani ibu atau bapa ketika melakukan pemohonan pasport. 

Sebagai tambahan, kesemua dokumen ini perlu dibawa dalam bentuk asal dan elok jika dibuat salinan juga.

 

Foto pasport

Kini, pemohon tidak perlu lagi menyediakan gambar bagi permohonan kaunter di Pejabat Imigresen atau Pejabat Atase (Singapura, New York, London, Hong Kong, Melbourne dan Jakarta). Gambar akan diambil ketika permohonan dilakukan di bahagian pasport menggunakan alat Facial Live Capture.

Sebaliknya, permohonan melalui Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara, bagi kanak-kanak berumur 4 tahun ke bawah dan pembaharuan secara dalam talian perlu menyediakan gambar pasport sendiri.

Gambar pasport ini haruslah mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh pihak Imigresen seperti berikut:

  • Gambar bersaiz 35mm x 50mm 
  • Berlatar belakang putih tanpa sebarang tekstur
  • Saiz wajah pemohon berukuran minima 25-30mm (50% – 60% ukuran ruang gambar mengikut ICAO)

Selain itu, pemohon juga harus memastikan perkara di bawah bagi gambar pasport:

  • Pemohon perlu memakai pakaian berwarna gelap serta menutupi bahu dan dada
  • Memandang tepat ke arah kamera, mata perlu dalam keadaan terbuka dan mulut tertutup
  • Tidak memakai topi dan rambut tidak melindungi wajah
  • Pemakaian lensa mata dan cermin mata tidak dibenarkan semasa mengambil gambar
  • Pemohon yang memakai tudung harus memakai tudung berwarna gelap dan tudung tidak menutupi dahi

Bagi pasport bayi, gambar bayi boleh dimohon untuk ditukar setelah berusia tiga tahun ke atas. Untuk permohonan ini, ibu bapa perlu membawa anak ke Pejabat Imigresen dan membawa bersama sijil lahir.

 

Pembaharuan pasport dalam talian

Bagi pembaharuan pasport, pemohon berumur 13 tahun dan ke atas boleh melakukan sedemikian secara dalam talian, seperti melalui laman web MyOnline Pasport. Pembaharuan passport dalam talian hanya dibenarkan bagi mereka yang telah dikeluarkan dengan e-pasport atau pasport bercip yang digunakan sekarang. Jika pasport sedia ada pemohon telah hilang atau rosak, pembaharuan tidak boleh dilakukan secara dalam talian.

Pasport yang telah siap perlu diambil oleh pemohon di pejabat pengeluar pasport yang telah dipilih daripada senarai dalam sistem. Pemohon akan diberi tarikh dan masa pengambilan pasport berdasarkan hari dan masa permohonan dibuat.

Sewaktu pengambilan pasport, pemohon perlu hadir sendiri dan tiada wakil dibenarkan. Pemohon juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan, pasport sedia ada serta resit bayaran. Kegagalan membawa dokumen tersebut akan menyebabkan pasport tidak diserah. Pemohon kurang 18 tahun pula perlu membawa bersama sijil kelahiran dan ditemani penjaga sah yang telah memberi kebenaran.

Diingatkan supaya pasport yang diluluskan dituntut dalam tempoh tidak lebih tiga bulan daripada tarikh kutipan yang dinyatakan pada resit bayaran. Kegagalan berbuat sedemikian akan menyebabkan pasport dibatalkan dan dilupuskan, serta permohonan dengan bayaran baharu perlu dilakukan semula. 

 

Pastikan pasport anda sah sebelum ke luar negara

Jika anda ingin membeli tiket kapal terbang, anda boleh berbuat sedemikian walaupun tidak mempunyai pasport ataupun pasport telah tamat tarikh. Namun, pastikan supaya ada pasport yang sah ketika penerbangan yang dijadualkan. Jangan lupa untuk melakukan permohonan visa juga bagi negara-negara tertentu.

 

Sementara itu, pernah dengar tak bahawa setiap pasport mempunyai kekuatannya yang tersendiri? Bagaimana pula dengan pasport Malaysia?

BACA JUGA: Benarkah Pasport Malaysia Antara Terkuat Di Dunia?

Adakah pasport diperlukan jika penduduk Semenanjung Malaysia ingin ke Sabah dan Sarawak?

BACA JUGA: Benarkah Pergi Ke Sabah Dan Sarawak Perlu Pasport Atau Pas Khas?

 


Rujukan:

1. https://www.imi.gov.my/index.php/perkhidmatan-utama/pasport/
2. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/budi-bicara-kerajaan-untuk-keluarkan-atau-tarik-balik-pasport-peguam-kanan-persekutuan-139943
3. https://www.imi.gov.my/index.php/perkhidmatan-utama/pasport/pasport-malaysia-antarabangsa/
4. https://imigresen-online.imi.gov.my/eservices/myPasport

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 7 months ago