Benarkah Pergi Ke Sabah Dan Sarawak Perlu Pasport Atau Pas Khas?

Benar
Benarkah Pergi Ke Sabah Dan Sarawak Perlu Pasport Atau Pas Khas?

Terdapat pertanyaan sama ada pasport diperlukan untuk rakyat Semenanjung melawat Sabah dan Sarawak

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 07/04/2023 - Disunting : 07/04/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Pergi Ke Sabah Dan Sarawak Perlu Pasport Atau Pas Khas?

Seorang pengguna Twitter, Tun Laila, telah berkongsi tentang kad pengenalan bagi rakyat Sabah atau Sarawak. Menurutnya, kad pengenalan bagi rakyat Sabah mempunyai huruf ‘H’ di bahagian bawah kanan kad, manakala rakyat Sarawak mempunyai huruf ‘K’. 

Di samping itu, rakyat Malaysia dari Semenanjung perlu menggunakan pasport atau pas lawatan sosial untuk masuk ke kedua-dua negeri tersebut dan hanya boleh menetap tidak lebih 90 hari. Mari kita semak berkenaan perkara ini.

 

Kad pengenalan rakyat Sabah dan Sarawak

Seorang individu boleh memohon perkara ini jika salah seorang daripada ibu bapa mereka berstatus rakyat Sabah atau Sarawak. Ia dibenarkan walaupun individu tersebut tidak dilahirkan atau menetap di mana-mana negeri tersebut. 

Contoh kad pengenalan Sabah. Kredit: Facebook Sabah Bossku

Sememangnya rakyat Sabah dan Sarawak mempunyai huruf ‘H’ atau ‘K’ di kad pengenalan mereka yang memberikan mereka kelebihan berbanding rakyat Semenanjung. Mereka tidak memerlukan sebarang pas lawatan sosial dan boleh menetap seberapa lama pun di negeri masing-masing. 

 

Pas lawatan ke Sabah dan Sarawak

Menurut Jabatan Imigresen Malaysia, rakyat Malaysia dari Semenanjung yang tidak mempunyai Pasport Malaysia atau Dokumen Perjalanan Terhad, akan diberikan Dokumen Gantian Perjalanan apabila hendak masuk ke Sabah atau Sarawak. Ia dianggap sebagai Pas Lawatan Sosial atau Bisnes dan pemegang hanya boleh menetap di Sabah atau Sarawak tidak lebih daripada tiga bulan. 

Contoh Dokumen Gantian Perjalanan
Kredit: Iloveborneo.my

Rakyat dari Semenanjung yang ingin melawat Sabah dan Sarawak tidak lebih tiga bulan tidak perlu membuat permohonan awal. Sebaliknya, cuma perlu mendapatkan dokumen tersebut di kaunter Balai Ketibaan lapangan terbang Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak. Tiada sebarang bayaran yang dikenakan untuk mendapatkan pas lawatan tersebut.

Bagi individu yang mempunyai Pasport Malaysia Antarabangsa bewarna merah, mereka boleh juga menggunakannya dan permit lawatan akan dicop di dalam pasport tersebut. 

 

Menetap di Sabah atau Sarawak lebih tiga bulan

Sudah pasti orang ramai sedia maklum tentang pasport berwarna merah yang digunakan untuk melancong ke luar negara. Namun begitu, mungkin tidak ramai tahu tentang pasport berwarna biru. 

Kredit: Right Mind Lefty

Pasport berwarna biru ini dikenali sebagai Dokumen Perjalanan Terhad. Ia dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen bagi rakyat Malaysia dari Semenanjung yang ingin menetap di Sabah atau Sarawak selama lebih tiga bulan. Pasport biru sah selama lima tahun dari tarikh ia dikeluarkan dan boleh dilanjutkan selama lima tahun lagi. Berbanding pas sosial, Dokumen Perjalanan Terhad perlu dimohon lebih awal dan dikenakan bayaran RM5. 

Menurut laman web Iloveborneo.my, Dokumen Perjalanan Terhad kebiasannya digunakan oleh pelajar atau penjawat awam yang menetap di Sabah atau Sarawak. Perkerja swasta pula menggunakan visa kerja dan pasport biasa, tetapi boleh memohon pasport biru menggunakan visa kerja setelah mereka mencapai tempoh tiga bulan bekerja.

 

Autonomi imigresen Sabah dan Sarawak

Keperluan Dokumen Gantian Perjalanan dan Dokumen Perjalanan Terhad timbul kerana Sabah dan Sarawak mempunyai autonomi yang lebih besar ke atas imigresen mereka. Perkara ini termaktub di dalam Seksyen 66 Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) iaitu sekatan ke atas hak masuk warganegara ke dalam Negeri Malaysia Timur. 

Pada masa yang sama, Sarawak turut mempunyai kuasa yang lebih besar berbanding Sabah dalam isu imigresen. Individu yang mempunyai huruf ‘K’ di dalam kad pengenalan boleh memasuki mana-mana negeri dalam Malaysia, termasuk Sabah, tanpa pas atau pasport. Sebaliknya, individu dari Sabah (huruf ‘H’ dalam kad pengenalan) masih perlu mendapatkan dokumen yang berkaitan. 

 

Rakyat Malaysia dari Semenanjung perlu dokumen khas untuk melawat atau menetap di Sabah dan Sarawak

Kuasa autonomi Sabah dan Sarawak mewajibkan rakyat dari Semenanjung menggunakan pasport atau pas lawatan untuk melawat kedua-dua negeri tersebut. Namun begitu, bagi individu yang hanya ingin melancong tidak lebih tiga bulan, mereka cuma akan diberikan pas lawatan dalam bentuk slip dan tidak perlu memohon lebih awal. Hanya individu yang ingin menetap lama perlu menggunakan pasport merah yang diberikan visa atau pasport biru. 

BACA JUGA: Adakah Sabah dan Sarawak Merdeka Pada Tanggal 31 Ogos?

BACA JUGA: Benarkah Pembentukan Malaysia Mendapat Tentangan?


Rujukan:

1. https://www.facebook.com/sabahbosskuu/photos/a.2476650205692201/4027923447231528/
2. https://www.imi.gov.my/index.php/perkhidmatan-utama/dokumen-perjalanan/dokumen-gantian-perjalanan/
3. https://www.imi.gov.my/index.php/perkhidmatan-utama/dokumen-perjalanan/dokumen-perjalanan-terhad/
4. https://www.iloveborneo.my/rupa-rupanya-ramai-tak-tahu-ketahui-kegunaan-passport-biru-ini-yang-digelar-dokumen-perjalanan-terhad/
5. https://www.imi.gov.my/index.php/perkhidmatan-utama/pas/endosmen-pengecualian-seksyen-66/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago