Benarkah Kulit Ayam Tidak Elok Untuk Kesihatan?

Salah
Benarkah Kulit Ayam Tidak Elok Untuk Kesihatan?

Orang ramai percaya bahawa kulit ayam tidak elok dimakan kerana mengandungi banyak lemak

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 24/11/2023 - Disunting : 24/11/2023

Keputusan:Salah

Petition to

Benarkah Kulit Ayam Tidak Elok Untuk Kesihatan?

Kulit ayam, terutamanya yang digoreng rangup, merupakan satu makanan yang digemari orang ramai. Namun, sifatnya yang berlemak menyebabkan kulit ayam sering dikatakan sebagai makanan yang tidak sihat dan tidak harus dimakan sama sekali. Mari kita semak jika perkara ini benar.

 

Lemak dan jenis-jenis lemak

Memandangkan kulit ayam sering dikaitkan dengan lemak, penting untuk kita fahami dahulu tentang lemak. Walaupun dikatakan sebagai sesuatu yang tidak sihat, sebenarnya badan kita masih memerlukan lemak dalam kuantiti yang sedikit. Menurut British Heart Foundation, lemak diperlukan oleh tubuh badan untuk penghasilan tenaga dan sesetengah hormon. Malah, lemak membantu tubuh badan untuk menyerap vitamin A, D, E dan K yang larut dalam lemak. 

Lemak dari makanan yang diambil secara berlebihan akan disimpan sebagai lemak dalam badan. Lemak badan diperlukan, tetapi jika terlalu banyak, terutamanya di bahagian pinggang, ia akan meningkatkan risiko penyakit jantung dan peredaran darah. Menurut National Health Service (NHS) United Kingdom, terdapat empat jenis lemak iaitu lemak tepu, lemak trans, lemak politaktepu dan lemak monotaktepu.

Baca Juga: Benarkah Penduduk Asia Mempunyai Peratus Lemak Badan yang Lebih Tinggi?

 

Lemak tepu boleh ditemui dalam pelbagai jenis makanan, terutamanya dalam makanan berasaskan sumber haiwan, dan sesetengah makanan berasaskan sayuran seperti minyak kelapa sawit. The American Heart Association mencadangkan pemakanan yang merangkumi 5% hingga 6% kalori daripada lemak tepu dalam sehari. Pengambilan lemak tepu yang berlebihan boleh menyebabkan tahap kolesterol menaik seterusnya meningkatkan risiko penyakit jantung.

Juga dikenali sebagai asid lemak trans, lemak trans merupakan jenis yang paling tidak elok untuk kesihatan kerana ia boleh meningkatkan kolesterol jahat (LDL) dan mengurangkan kolesterol baik (HDL). Ia boleh ditemui secara semula jadi dalam daging dan produk tenusu. 

Namun begitu, lemak trans tiruan dihasilkan dengan menambah atom hidrogen kepada minyak sayuran. Food and Drug Administration (FDA) Amerika Syarikat telah mengharamkan sumber utama lemak trans tiruan digunakan di dalam makanan dan minuman. Kerajaan UK menasihati supaya individu dewasa tidak mengambil lebih daripada 5g lemak trans dalam sehari.

Daging banyak mengandungi lemak tepu. Kredit gambar: Jose Ignacio Pompe/ Unsplash

Lemak tidak tepu merupakan jenis yang boleh diambil bagi menggantikan lemak tepu untuk mengurangkan risiko penyakit jantung dan menurunkan tahap kolesterol. Ia banyak ditemui dalam minyak daripada sayur-sayuran dan ikan. Lemak tidak tepu boleh dikategorikan kepada lemak monotaktepu dan lemak politaktepu.

Lemak monotaktepu atau monounsaturated fat dapat mengawal tahap kolesterol HDL dan menurunkan tahap kolesterol LDL dalam darah, sekaligus menjaga kesihatan jantung. Ia boleh ditemui dalam avocado, minyak zaitun dan sesetengah kacang seperti badam dan kacang tanah. 

Seperti lemak monotaktepu, lemak politaktepu atau polyunsaturated fat juga mengurangkan kadar kolesterol LDL dalam darah. Ia boleh dikategorikan kepada dua iaitu omega-3 dan omega-6. Sesetengah jenis lemak omega-3 dan omega-6 tidak boleh dihasilkan oleh badan dan perlu diambil melalui pemakanan.

Omega-6 boleh dijumpai dalam minyak sayuran seperti minyak jagung serta kekacang seperti badam dan gajus yang mengandungi banyak lemak tersebut. Omega-3 pula boleh didapatkan daripada ikan laut dalam seperti bilis, sardin dan kembung. Panduan Diet Malaysia memberi saranan supaya mengambil satu sajian ikan sehari untuk mendapatkan lemak omega-3 yang mencukupi.

Lemak politaktepu omega-3 boleh ditemui dalam pelbagai jenis ikan seperti sardin, bilis dan kembung. Kredit gambar: Nguyen Linh/ Unsplash

 

Lemak dan khasiat dalam kulit ayam

Setelah mengenali jenis-jenis lemak, bagaimana pula dengan lemak yang terdapat pada kulit ayam? Kerana lemak tepu lebih banyak ditemui dalam produk haiwan, pasti ada yang menganggap kulit ayam mengandungi lemak tepu semata-mata yang tidak sihat untuk tubuh badan. 

Menurut University Hospitals, kulit ayam sebenarnya mengandungi lebih banyak lemak tidak tepu, terutamanya asid lemak monotaktepu seperti yang ditemui dalam minyak zaitun, berbanding lemak tepu. Lemak monotaktepu ini bagus untuk mengekalkan tahap lipid darah dan menjaga kesihatan jantung.

Selain itu, kulit ayam juga mengandungi asid oleik iaitu asid lemak omega-9. Lemak tidak tepu dalam kulit ayam membantu untuk mengawal sistem imun badan dan membantu dalam penghasilan hormon.

Kulit ayam mengandungi lemak tak tepu omega-9, protein, zat besi dan kalsium. Kredit gambar: Kirk K/ Flickr

Satu kajian yang dijalankan pada tahun 1976 telah membuat kesimpulan bahawa kulit ayam mengandungi 45% protein kasar dan 47% lemak yang menjadikannya sesuai sebagai kudapan yang berkhasiat dan mengenyangkan. Selain daripada protein dan lemak sihat, kulit ayam juga mengandungi zat besi, kalium dan kalsium, serta tidak mempunyai karbohidrat dan gula. 

 

Kebaikan kulit ayam

Amy Myrdal Miller dari The Culinary Institute of America berkata kulit ayam tidak perlu dibuang ketika memasak ayam kerana kebanyakan lemak yang terdapat padanya adalah lemak tidak tepu. Tambahnya lagi, memasak ayam dengan kulitnya akan menghasilkan hidangan ayam yang lebih beraroma dan tidak kering. Perkara ini mengurangkan penggunaan garam sebagai perasa tambahan atau salutan tepung untuk mengelakkan ayam daripada menjadi kering.

Makanan yang lebih beraroma dapat mengurangkan mengidam selepas makan yang boleh meningkatkan pengambilan kalori lebih daripada yang terkandung dalam kulit ayam. Ia sekaligus mengurangkan tabiat makan secara berlebihan.

Menurut Proactive Health, kulit ayam yang mengandungi asid amino glisina (glycine) kemungkinan mempunyai sifat anti-penuaan. Glisina membantu dalam penghasilan kolagen yang berfungsi untuk menjadikan kulit anjal.

Laman web Chicken India turut menyenaraikan beberapa kebaikan lain kulit ayam. Seperti yang dinyatakan, kulit ayam mengandungi asid oleik yang boleh menggalakkan penghasilan kolesterol HDL, seterusnya mengawal sensitiviti terhadap glukosa dan tahap kolesterol. 

Kredit gambar: Istvan Szabo/ Pexels

Malah, lemak tepu yang terkandung dalam kulit ayam dikatakan turut mempunyai kebaikannya. Lemak tepu pada kulit ayam jika diambil dalam kuantiti yang berpatutan dapat mengawal penghasilan hormon, menguatkan sistem imun badan dan mengekalkan ketumpatan tulang.

Di samping itu, diet rendah lemak sebenarnya merangkumi banyak karbohidrat. Hidangan tinggi karbohidrat sebenarnya kurang memuaskan dan boleh menyebabkan seseorang lebih banyak makan, kemudiannya meningkatkan berat badan. Oleh itu, penambahan lemak seperti kulit ayam ke dalam diet dapat mengelakkan perkara ini daripada berlaku.

 

Kulit ayam jika dimakan dalam kuantiti yang berpatutan elok untuk kesihatan badan

Walaupun kulit ayam mengandungi banyak lemak, namun sebahagian besarnya merupakan lemak sihat yang penting untuk tubuh badan. Kulit ayam juga membawa banyak kebaikan. Oleh itu, kulit ayam tidak perlu dibuang dan boleh dimakan dalam kuantiti yang berpatutan.

Walaupun kulit ayam elok dimakan, namun cara memasaknya juga penting. Seperti makanan lain, kulit ayam yang digoreng akan meningkatkan kalori dalam diet. Lebih baik jika ia dipanggang, dibakar atau direbus. Malah, pakar diet Rebecca Lewis berkata cara paling sihat untuk memasak ayam adalah dengan merebusnya.

Diingatkan juga supaya ayam tidak dimasak secara berlebihan atau sehingga hangus kerana nutriennya akan berkurangan serta boleh membawa risiko pendedahan kepada bahan karsinogen. 

Baca Juga: Benarkah Penggunaan Air Fryer Membahayakan Kesihatan?


Rujukan:

1. https://www.bhf.org.uk/informationsupport/support/healthy-living/healthy-eating/fats-explained
2. https://www.nhs.uk/live-well/eat-well/food-types/different-fats-nutrition/
3. https://www.heart.org/en/healthy-living/healthy-eating/eat-smart/fats/saturated-fats
4. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/high-blood-cholesterol/in-depth/trans-fat/art-20046114
5. http://www.myhealth.gov.my/omega-3-laut-dalam/
6. https://www.healthdigest.com/609860/how-unhealthy-is-chicken-skin/
7. https://www.phlabs.com/yes-chicken-skin-can-be-part-of-a-healthy-diet
8. https://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S0032579119497617?ref=pdf_download&fr=RR-2&rr=82ae5164cb7813dd
9. https://www.hsph.harvard.edu/nutritionsource/2012/06/21/ask-the-expert-healthy-fats
10. https://www.chickenindia.org/eight-reasons-why-having-chicken-skin-is-actually-healthy/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 5 months ago