Benarkah Matcha Atau Teh Hijau Boleh Mengurangkan Sakit Senggugut?

Benar
Benarkah Matcha Atau Teh Hijau Boleh Mengurangkan Sakit Senggugut?

Salah satu cara yang sering dicadangkan untuk mengurangkan sakit senggugut ketika haid adalah dengan meminum teh hijau

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 31/05/2024 - Disunting : 31/05/2024

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Matcha Atau Teh Hijau Boleh Mengurangkan Sakit Senggugut?

Kebanyakan wanita mengalami senggugut ketika didatangi haid. Perkara ini berlaku apabila kadar kimia prostaglandin lebih tinggi menyebabkan rahim, usus dan pembuluh darah mengecut. Salah satu simptom senggugut ialah kekejangan di bahagian perut.

Dalam mengurangkan simptom senggugut, para wanita mengamalkan banyak cara termasuk pengambilan ubat-ubatan dan remedi di rumah. Seorang individu telah berkongsi di laman X bahawa terdapat kajian yang menemukan hubung kait antara pengambilan matcha dan pengurangan kekejangan akibat haid.

Baca Artikel Berkaitan: Adakah Senggugut Atau ‘Period Pain’ Yang Teruk Ketika Haid Merupakan Perkara Biasa? 

 

Matcha mengandungi L-theanine

Carian kami mendapati perkara itu telah diambil dari laman web Zen Oaza yang memaklumkan bahawa matcha mengandungi amino asid L-theanine yang membantu otot pada uterus relaks seterusnya mengurangkan kekejangan perut. Namun merujuk kepada kertas kajian asal, ia tidaklah menyebut matcha sahaja, tetapi teh hijau secara umumnya.

Sebelum itu, penting untuk mengetahui perbezaan antara teh hijau dan matcha. Matcha merupakan satu bentuk teh hijau yang lebih pekat di mana daun teh dihancurkan menjadi serbuk. 

Perbezaan kedua-dua jenis teh ini bukan hanya dari segi bentuknya, tetapi juga cara penanaman. Bagi menghasilkan matcha, pokok teh yang sedang membesar akan kebanyakan masanya dilindungi dari cahaya matahari agar dapat menghasilkan lebih banyak asid amino dan kompaun yang aktif secara biologi seperti klorofil dan theanine. 

Profesor nutrisi dan epidemiologi di Harvard T.H. Chan School of Public Health, Dr Frank Hu, berkata bahan dalam matcha lebih padat dari teh hijau lain memandangkan ia dihasilkan menggunakan keseluruhan bahagian daun teh.

Kredit gambar: Mikhail Nilov/ Pexels

 

L-theanine tingkatkan gelombang alfa di dalam otak

Menurut Medical News Today, L-theanine boleh ditemui dalam teh hijau, teh hitam dan sesetengah jenis cendawan. Ia dipercayai dapat mempengaruhi kadar sesetengah bahan kimia dalam otak seperti serotonin, dopamin dan kortisol, yang mengawal mood, tidur, emosi dan tekanan.

Antara kebaikan pengambilan L-theanine ialah tumpuan mental yang lebih bagus, tidur yang lebih bagus, ketenangan, meningkatkan prestasi kognitif, kurangkan berat badan, meningkatkan sistem imun dan mengurangkan tekanan darah. Malah, beberapa kajian mendapati asid amino dapat meningkatkan keberkesanan sejenis ubat kimoterapi doxorubicin. 

L-theanine juga boleh memberi kesan ketenangan (relaxant effect) kepada individu yang mengambilnya dengan meningkatkan gelombang alfa (alpha wave) di dalam otak. Perkara ini dipercayai dapat mengurangkan simptom pra-menstruasi (PMS).

Akan tetapi, wanita yang sedang mengandung dan menyusukan anak tidak digalakkan untuk mengambil L-theanine.

Kredit gambar: Jia Ye/ Unsplash

 

Teh hijau paling berkesan untuk kurangkan sakit senggugut

Dapatan yang dipetik di laman web Zen Oaza dijalankan bagi meneliti hubung kait antara pengambilan teh dan senggugut dalam kalangan wanita di Shanghai, China pada usia reproduktif.

Hasil kajian mendapati pengambilan teh dapat dikaitkan dengan sakit senggugut yang berkurangan. Teh hijau didapati paling berkesan dalam mengurangkan senggugut, diikuti dengan teh oolong.

Selain itu, kajian ke atas diet orang Jepun yang mengandungi makanan laut, produk soya, buah-buahan, cendawan dan teh hijau juga mendapati ia dapat mengurangkan simptom berkaitan haid. Malah, orang Jepun yang sebelum ini mengikut tabiat makanan barat didapati tidak mengalami senggugut apabila berubah ke diet Jepun.

Kredit gambar: nameofmin/ Unsplash

 

Kafein boleh sebabkan senggugut lebih teruk

Walau bagaimanapun, harus diingat bahawa secawan teh hijau juga mengandungi sekitar 29 mg kafein. Kafein bukan sahaja boleh mengganggu tidur, tetapi juga boleh menyebabkan kekejangan otot menjadi lebih teruk. Ini berlaku apabila kafein menghalang penghasilan hormon yang dapat mengecilkan saluran darah dan memperlahankan aliran darah. 

Beberapa kajian mendapati pengambilan kafein yang banyak dapat meningkatkan kekuatan senggugut dan meningkatkan risiko kekejangan sebanyak dua kali ganda. Malah satu kajian mendapati gangguan tidur boleh menyebabkan masalah senggugut yang lebih teruk.

Untuk makluman, kajian mendapati minuman yang dihasilkan menggunakan daun Camellia sinensis mempunyai kafein paling rendah ialah teh oolong, diikuti dengan teh hitam, teh putih dan teh hijau. 

Kredit gambar: Oriento/ Unsplash

Di samping itu, kajian lain yang dijalankan mendapati tiada hubung kait antara pengambilan teh dan senggugut dalam wanita pada usia reproduktif di Turki

Malah, satu kajian ke atas pelajar universiti di Ethiopia mendapati mereka yang meminum lebih daripada empat cawan teh sehari mempunyai risiko dismenorea primer yang lebih tinggi berbanding yang tidak minum teh. 

Namun begitu, dalam kedua-dua kajian ini, tidak dinyatakan jenis teh yang diambil oleh peserta kajian. Mereka berkemungkinan mengambil teh jenis lain yang mengandungi lebih banyak kafein dan boleh menyebabkan senggugut lebih teruk.

 

Teh hijau mungkin berkesan untuk mengurangkan senggugut

Berdasarkan kajian terhad yang dijalankan, tidak mustahil jika teh hijau dan matcha dapat mengurangkan sakit senggugut. Ini berlaku dengan kewujudan asid amino L-theanine yang dapat memberikan kesan ketenangan.

Kredit gambar: Charlotte May/ Pexels

Selain daripada teh hijau dan teh oolong, terdapat beberapa minuman lain yang boleh diambil bagi mengurangkan senggugut iaitu:

  • Teh halia
  • Teh kamomil
  • Teh kayu manis
  • Teh adas/ jintan hitam (fennel tea)

Baca Artikel Berkaitan: Benarkah Senggugut Boleh Mengurangkan Produktiviti Kerja Seseorang?


Rujukan:

1. https://www.zenoaza.si/en/zakaj-piti-matcho-v-casu-menstruacije/
2. https://www.medicalnewstoday.com/articles/324120
3. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC10908322/
4. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC6500245/
5. https://www.mdpi.com/2227-9032/11/9/1289#B38-healthcare-11-01289
6. https://www.businessinsider.com/guides/health/reproductive-health/tea-for-period-cramps
7. https://flo.health/menstrual-cycle/health/period/coffee-on-period-and-during-pms
8. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/32445135/
9. https://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S1279770723016937
10. https://www.pjms.com.pk/issues/janmar2010/pdf/article30.pdf
11. https://www.tandfonline.com/doi/full/10.2147/IJWH.S112768

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 7 months ago