Teknologi kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) kini telah banyak digunakan dalam reka bentuk. Baru-baru ini, stesen televisyen TV3 telah menerima pelbagai reaksi selepas memperkenalkan video seruan azan baharu dihasilkan menggunakan teknologi AI yang disifatkan sebagai ‘lebih segar dan inovatif’.
Selain menerima kritikan terhadap penggunaan AI yang dikatakan sebagai satu bentuk plagiarisme, ada juga individu yang menjelaskan bahawa teknologi ini akan meningkatkan jejak karbon atau jejak gas rumah hijau, sekaligus membawa kesan buruk terhadap perubahan iklim. Hantaran kali ini akan meneliti lebih dalam kaitan antara AI dan alam sekitar.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Hasilkan Video Azan Guna AI, Stesen Televisyen TV3 Terima Pelbagai Reaksi Netizen
Sistem komputer dilatih menggunakan maklumat bagi teknologi AI
Sebelum itu, penting untuk mengetahui bagaimana teknologi AI berfungsi yang membolehkan komputer untuk belajar dan menyelesaikan masalah sama seperti manusia. Sistem ini dilatih menggunakan maklumat yang banyak di mana ia akan belajar untuk mengenal pasti corak (patterns) pada maklumat tersebut.
Antara perkara yang dapat dilakukan oleh sistem komputer menerusi AI adalah membuat ramalan, mengenal pasti objek, menafsir pertuturan dan menjana bahasa secara semula jadi.
Di samping itu, hampir kesemua teknologi AI moden yang digunakan kini adalah dijana menerusi pembelajaran mesin atau machine learning (ML), iaitu menggunakan data untuk membuat keputusan yang lebih bagus. Secara umumnya, AI boleh dikategorikan kepada tiga iaitu:
- Pembelajaran diselia (Supervised learning)
- Pembelajaran tidak diselia (Unsupervised learning)
- Pembelajaran pengukuhan (Reinforcement learning)
Untuk lebih memahami tentang teknologi AI, tonton video di bawah.
Impak negatif AI terhadap alam sekitar
Dengan penggunaan teknologi AI yang semakin berkembang, penting untuk mengetahui impaknya terhadap alam sekitar. Malah, penggunaan AI berskala besar dilakukan di pusat data yang telah melonjak sebanyak 8 juta pada tahun 2024 berbanding 500,000 pada 2012.
Menurut Columbia University, memandangkan pusat data berfungsi dengan menggunakan sumber tenaga yang besar, ia sememangnya meningkatkan jejak karbon (carbon footprint) atau jejak gas rumah hijau. Malah, sumber tenaga yang diperlukan untuk menjana model AI adalah lebih tinggi apabila set data dan model menjadi lebih kompleks, sekaligus meningkatkan pelepasan gas rumah hijau yang memburukkan perubahan iklim.
Menurut penyelidik di OpenAI, jumlah kuasa pengkomputeran yang diperlukan untuk melatih model AI canggih telah meningkat dua kali ganda setiap 3.4 bulan sejak tahun 2012. Dianggarkan menjelang 2040 pelepasan gas rumah hijau oleh industri teknologi informasi dan komunikasi (ICT) akan menyumbang kepada 14% pelepasan global, dengan majoritinya daripada infrastruktur ICT terutamanya pusat data dan rangkaian komunikasi.
Pada 2019, University of Massachusetts Amherst mendapati melatih satu model AI bagi model bahasa boleh menghasilkan lebih 230 tan karbon dioksida yang bersamaan dengan penggunaan lima kereta sepanjang tempoh hayatnya.
Kajian lain pula mendapati melatih GPT-3 dengan 175 bilion parameter menyebabkan pelepasan 502 tan metrik karbon, iaitu bersamaan seperti memandu 112 kereta menggunakan gasolin selama setahun.
Di samping jejak karbon yang dihasilkan menerusi penggunaan tenaga yang besar, teknologi AI juga memberi impak negatif terhadap alam sekitar menerusi bahan elektronik yang digunakan. Menurut United Nations Environment Programme (UNEP), sebanyak 800kg bahan mentah diperlukan hanya untuk menghasilkan komputer 2kg.
Malah, cip mikro yang membekalkan kuasa pada AI memerlukan unsur nadir bumi (rare earth element) yang kebiasaannya dilombong dengan cara yang memudaratkan alam sekitar. Pusat data juga menghasilkan banyak sisa elektronik yang selalunya mengandungi bahan berbahaya seperti merkuri plumbum.
Selain itu, jumlah air yang banyak diperlukan untuk menyejukkan komponen elektrik di pusat data. Infrastruktur berkait AI dianggarkan akan menggunakan enam kali ganda lebih air berbanding negara Denmark. UNEP menyifatkan ini sebagai satu masalah memandangkan suku manusia di seluruh bumi masih belum mempunyai akses terhadap air bersih dan kebersihan.
AI dapat digunakan bagi kebaikan alam sekitar
Pun begitu, teknologi AI dilihat dapat membantu dalam mengatasi masalah membabitkan alam sekitar. UNEP menjelaskan bahawa AI dapat digunakan bagi memantau persekitaran dan membantu pihak tertentu bagi membuat pilihan yang mesra alam. AI juga dapat meningkatkan kecekapan seperti yang digunakan oleh UNEP bagi mengesan apabila metana dibebaskan sewaktu pemasangan minyak dan gas.
Di samping itu, World Economic Forum turut menyenaraikan beberapa cara bagaimana teknologi AI dapat menangani masalah perubahan iklim iaitu:
- Mengesan di mana dan berapa cepat aisberg mencair
- Memetakan penyahhutanan atau penebangan hutan
- Membantu komuniti di Afrika yang terkesan dengan perubahan iklim menerusi ramalan cuaca
- Mengitar semula lebih banyak sisa
- Memetakan sampah di lautan bagi tindakan pembersihan
- Meramalkan bencana iklim
- Membantu syarikat industri besi dan perlombongan, minyak serta gas dalam mengurangkan pelepasan karbon dioksida
- Mewujudkan semula hutan (reforestrating) di Brazil menggunakan dron
Impak teknologi AI terhadap alam sekitar boleh dikurangkan
Oleh itu, penting untuk mengetahui apakah yang perlu dilakukan bagi mengurangkan impak negatif teknologi AI terhadap alam sekitar. Menurut UNEP, lebih 190 negara telah menjalankan syor penggunaan AI secara beretika yang termasuk isu alam sekitar.
Selain itu, kajian oleh Google mendapati penggunaan seni bina dan pemproses yang lebih cekap serta menghasilkan pusat data yang lebih hijau dapat mengurangkan jejak karbon antara 100 hingga 1,000 kali ganda. Sebagai contoh, model BLOOM mempunyai saiz yang sama dengan GPT-3 tetapi menghasilkan jejak karbon lebih rendah.
Malah, AI juga boleh dijalankan menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui. Menurut Scientific American, perkara ini boleh dijalankan dengan melakukan pengkomputeran di tempat dengan lebih banyak tenaga hijau atau menjadualkan pengkomputeran pada masa tertentu ketika dapat mengurangkan pelepasan gas hijau sehingga 40 kali ganda berbanding menggunakan bahan api fosil.
Tekanan oleh masyarakat juga penting kerana boleh menggalakan syarikat dan makmal kajian agar menerbitkan jejak karbon model AI yang digunakan. Perkara ini juga membolehkan pengguna untuk memilih model AI, seperti chatbot, yang lebih ‘hijau’.
Terdapat sesetengah pengendali pusat data yang telah menjalankan strategi dalam mencapai pelepasan ‘sifar bersih’. Antaranya adalah mewujudkan ladang solar berskala besar dan perolehan kredit tenaga boleh diperbaharui. Malah, pemimpin industri juga telah meletakkan matlamat ‘positif air’ menjelang 2030 dengan mengganti semula air lebih banyak daripada yang digunakan.
Teknologi AI boleh menyebabkan perubahan iklim, tetapi juga boleh membantu alam sekitar
Jelas bahawa teknologi AI yang memerlukan sumber tenaga tinggi menyebabkan jejak karbon atau pelepasan gas hijau yang tinggi, sekaligus dapat memberi impak negatif terhadap perubahan iklim. Namun dalam masa sama, teknologi ini juga dapat digunakan bagi membantu dalam membuat pilihan tepat untuk membawa kesan positif pada alam sekitar.
Baca Artikel Berkaitan: Apakah Itu Acah Hijau Atau ‘Greenwashing’?
Baca Artikel Berkaitan: Adakah Mikroplastik Boleh Memasuki Tubuh Badan Manusia?