Adakah Keputusan PRN Boleh Mengubah Kerajaan Persekutuan?

Salah
Adakah Keputusan PRN Boleh Mengubah Kerajaan Persekutuan?

Terdapat pihak yang mendakwa keputusan Pilihan Raya Negeri boleh mengubah kerajaan persekutuan

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 04/09/2023 - Disunting : 04/09/2023

Keputusan:Salah

Petition to

Adakah Keputusan PRN Boleh Mengubah Kerajaan Persekutuan?

Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berjalan pada 12 Ogos 2023 telah melibatkan enam buah negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Keputusan PRN menunjukkan keenam-enam negeri tersebut telah mengekalkan kerajaan negeri yang sama seperti sebelum Dewan Undangan Negeri dibubarkan.

Seperti ketika Pilihan Raya Umum (PRU), sesetengah pihak mendakwa bahawa keputusan PRN juga boleh menyebabkan perubahan tampuk pemerintahan kerajaan di peringkat persekutuan. Contohnya Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa kemenangan Perikatan Nasional (PN) dalam keenam-enam PRN akan menyebabkan kerajaan persekutuan berubah. Hantaran kali ini akan menyemak jika perkara ini benar.

 

Pilihan Raya Negeri

Sebelum itu, penting untuk memahami perbezaan antara PRU dan PRN. Umum maklum bahawa PRU dijalankan bagi melantik wakil rakyat di peringkat persekutuan (Dewan Rakyat), manakala PRN adalah bagi melantik wakil rakyat peringat negeri (Dewan Undangan Negeri). 

Wakil Dewan Rakyat atau Ahli Parlimen bertanggungjawab dalam penggubalan undang-undang dan perlu bersidang di Parlimen. Seperti Ahli Parlimen, Ahli DUN atau ADUN juga bertanggungjawab untuk menggubal undang-undang, namun hanya tertakluk bagi perkara-perkara yang tersenarai dalam Senarai Negeri dan Senarai Bersama, seperti hal ehwal tanah, pertanian, dan kebajikan sosial, bagi negeri masing-masing. Perkara ini juga bermakna tiada kaitan secara langsung antara kedua-dua jawatan berkenaan.

Walaupun sering dipandang enteng, tugas ADUN juga penting seperti Ahli Parlimen dan rakyat negeri perlu membuat pemilihan ADUN yang akan mendatangkan keuntungan bagi negeri mereka. Kedua-dua PRU dan PRN perlu dijalankan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh masa lima tahun iaitu bersamaan satu penggal. 

Kawasan Parlimen dan DUN di Selangor
Kredit gambar: @bernamadotcom/ X

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, tiada sebarang peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa keputusan PRN boleh mengubah Kerajaan Persekutuan.

Namun begitu, terdapat pihak yang berkata walaupun tiada peruntukan perundangan, tetapi boleh wujud desakan supaya tampuk pemerintahan negara diubah. Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, walaupun tiada peruntukan perundangan bahawa kemenangan di PRN boleh mengubah kerajaan persekutuan, namun ia adalah berkenaan pertimbangan politik yang harus diambil kira oleh parti politik di Borneo yang mahukan rakan politik yang kuat.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, menegaskan bahawa kerajaan persekutuan tidak mungkin bertukar menerusi PRN kerana hakikatnya ia dijalankan bagi menentukan pemerintah di enam negeri tersebut. Menurutnya, terdapat pihak yang berkata PRN menjadi referendum rakyat kepada kerajaan persekutuan yang dirasakan tidak wajar kerana negara baru ditadbir lebih kurang lapan bulan sejak PRU-15 sehingga PRN berikut. 

Tambahnya lagi, kerajaan persekutuan kini menerima sokongan daripada 148 orang Ahli Parlimen yang membentuk majoriti mudah. Sokongan tersebut membentuk majoriti mudah dan dipercayai tidak akan berubah jika tiada pertukaran Ahli Parlimen berlaku dan dengan kewujudan Akta Anti Lompat Parti yang telah dikuatkuasakan.

 

Kerajaan Persekutuan Malaysia

Kerajaan Persekutuan merupakan pihak berkuasa tertinggi di Malaysia dan diketuai oleh Perdana Menteri selaku Ketua kerajaan. Ia mempunyai tiga cawangan iaitu Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman.

YDPA merupakan Ketua Negara bagi Malaysia

Dalam sesebuah kerajaan persekutuan, rakyat diberi kuasa melalui PRU untuk memilih ahli Dewan Rakyat selaku wakil rakyat. Wakil rakyat terlibat dengan cabang perundangan (Parlimen), iaitu penggubalan undang-undang, dan cabang eksekutif (Kabinet) yang membuat keputusan mengenai polisi dan dasar negara.

Sebaliknya, ADUN yang dilantik melalui PRN tidak terlibat secara langsung dengan mana-mana tiga cawangan tersebut.

 

Pelantikan Perdana Menteri

Berdasarkan Perkara 43(2)(a) di dalam Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dari kalangan Dewan Rakyat yang dipercayai pada hematnya mendapat kepercayaan majoriti Ahli Parlimen. Sekali lagi, perkara ini menjelaskan bahawa perubahan ADUN tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan pelantikan Perdana Menteri yang boleh mengubah seluruh kerajaan persekutuan.

BACA JUGA: Siapakah Yang Layak Menjadi Perdana Menteri?

Pun begitu, harus diingat bahawa Ahli Parlimen daripada mana-mana parti politik boleh menyokong seorang Ahli Parlimen dari parti politik lain sebagai Perdana Menteri. Walaupun kelihatan mustahil, secara teknikalnya ia bermakna seorang Perdana Menteri boleh dilantik daripada parti politik yang tidak mempunyai jumlah kerusi majoriti.

Pada masa yang sama, jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Ahli Parlimen, beliau perlu meletakkan jawatan Jemaah Menteri atau Parlimen boleh dibubarkan jika diminta oleh YDPA.

Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan kuasa YDPA untuk memprorog atau membubarkan Parlimen. Oleh itu, perkenan YDPA wajib didapatkan untuk tujuan pembubaran Parlimen. YDPA juga berhak untuk tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen mengikut Perkara 40(2)(b). 

 

Keputusan PRN tidak akan mengubah Kerajaan Persekutuan

Walaupun keputusan PRN mungkin boleh menjadi isyarat kepada sokongan yang semakin padu atau berubah arah, namun ia tidak akan mengubah tampuk pemerintahan di peringkat persekutuan. Hal ini adalah kerana PRN bertujuan untuk memilih ADUN dan bukannya Ahli Parlimen yang mempunyai kata putus dalam hal ehwal berkenaan kerajaan persekutuan.

Terdapat pihak yang mendakwa perubahan boleh terjadi kerana mungkin wujudnya desakan-desakan tertentu. Namun begitu, memandangkan PRN tidak mempengaruhi pelantikan Ahli Parlimen, sokongan yang diberi kepada kerajaan persekutuan tidak akan berubah.

BACA JUGA: Benarkah Kerajaan Malaysia Pada Kali Ini Adalah Sebuah Kerajaan Perpaduan?


Rujukan:

1. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/08/996398/prn-jika-pn-menang-6-prn-berlaku-perubahan-kerajaan-pusat-abdul-hadi
2. https://www.myundi.com.my/parlimen-101/tugas-dan-fungsi-ahli-parlimen
3. https://www.myundi.com.my/parlimen-101/tugas-dan-fungsi-adun
4. https://www.malaysianow.com/my/opinion/2023/08/09/benarkah-prn-boleh-bawa-perubahan-di-putrajaya
5. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/08/1137746/gelombang-tukar-kerajaan-pusat-jika-pn-menang-prn-kata-azmin
6. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/08/1139019/jangan-tertipu-propaganda-keputusan-prn-boleh-tukar-kerajaan
7. http://mpi.my/wp/wp-content/uploads/2012/03/Pengasingan-Kuasa.pdf
8. http://www.jpapencen.gov.my/cat289562/published/perkara43-Ma.Html
9. https://malaysiabersuara.com/artikel/semak-fakta/adakah-yang-di-pertuan-agong-berkuasa-penuh-ke-atas-pembubaran-parlimen/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 8 months ago